WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau tidak mempertimbangkan untuk melanjutkan gencatan senjata dengan Iran, menurut wartawan ABC News Jonathan Karl pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Trump tidak fikir pelanjutan itu akan diperlukan, kata Karl di platform media sosial X.
“Saya fikir anda akan melihat sesuatu yang menakjubkan dua hari akan datang,” kata Trump, menurut Karl.
Karl berkata Trump membayangkan bahawa konflik itu boleh berakhir sama ada menerusi penyelesaian yang dirundingkan atau melalui tindakan ketenteraan yang menghapuskan keupayaan Iran.
“Ia boleh berakhir dengan salah satu cara, tetapi saya fikir perjanjian lebih baik kerana kemudian mereka (Iran) boleh membina semula (negara). Mereka benar-benar mempunyai rejim yang berbeza sekarang. Tidak kira apa pun, kami telah menghapuskan (pihak) radikal…” Trump dipetik sebagai berkata.
Menurut Karl, Trump turut membuat “dakwaan luar biasa” mengenai peranannya di pentas global iaitu “jika saya bukan presiden, dunia akan hancur.”–BERNAMA