
WASHINGTON: Ucapan perdana Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menerima kritikan hebat. Walaupun White House menjanjikan satu pengumuman besar, ucapan yang berlangsung kurang dari 20 minit itu dianggap gagal menawarkan strategi baharu mahupun jalan keluar yang jelas berhubung konfliknya dengan Iran.
Penganalisis dari Quincy Institute, Trita Parsi menyifatkan ucapan itu disusun hampir mengikut kronologi ciapan di X Trump selama 30 hari terakhir.
“Ketiadaan pengumuman baharu mendedahkan bahawa Trump sebenarnya tidak mempunyai rancangan yang rapi,” tegas Parsi.
Antara perkara yang hanya diulang siar Trump adalah, AS menang dalam perang dan konflik itu akan berakhir tidak lama lagi.
Trump mendakwa objektif strategik hampir selesai termasuk pemusnahan tentera laut dan keupayaan udara Iran. Namun, dakwaan ini bertentangan dengan realiti di lapangan di mana Iran masih mengawal Selat Hormuz dan masih mampu melancarkan serangan dron serta peluru berpandu ke arah Israel dan negara teluk.
Sebelum ini, White House menjangkakan peperangan akan tamat dalam tempoh empat ke enam minggu. Namun, kini memasuki minggu kelima, Trump menyatakan serangan hebat akan diteruskan untuk “dua hingga tiga minggu lagi”.
Dalam satu kenyataan yang mengelirukan, Trump menegaskan bahawa pertukaran rejim bukanlah matlamat AS, namun mendakwa ia “telah berlaku” kerana pemimpin asal Iran telah terkorban.
Walau bagaimanapun, Jamal Abdi dari National Iranian American Council (NIAC) menyifatkan dakwaan ini sebagai satu cubaan untuk menutup kegagalan. Beliau menegaskan bahawa struktur pemerintahan Iran tidak runtuh, sebaliknya, tempat pemimpin lama telah digantikan oleh figura seperti Mojtaba Khamenei dan disokong kuat oleh pasukan IRGC yang berjanji untuk memperhebatkan serangan balas.
Seentara itu, Bekas pegawai kanan tentera laut AS, Harlan Ullman, menyifatkan ucapan tersebut sebagai “memalukan”. Dengan majoriti rakyat Amerika menentang konflik ini, percubaan Trump untuk meraih sokongan melalui retorik lama dilihat gagal memberikan keyakinan bahawa pentadbiran beliau tahu bagaimana untuk menamatkan perang ini dengan jaya.–AlHijrah Online