KUALA LUMPUR: Umat Islam dinasihatkan agar tidak melakukan amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat susulan penularan isu zikir oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur, pada 28 Dis lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Hanifuddin Roslan berkata, pihaknya telah selesai melakukan siasatan berkaitan kejadian tersebut seperti yang diarah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.
JAWI telah menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan pengadu serta menemu bual waris Allahyarham termasuk pelaku yang terlibat, ujarnya.
“JAWI juga telah memanjangkan isu ini kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari aspek hukum syarak.
“JAWI akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan sekumpulan individu berikir dalam keadaan pelik sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi orang awam, di TPI Taman Ibukota Setapak.–AlHijrah Online