Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

21 NEGARA ARAB, ISLAM KECAM SERANGAN UDARA ISRAEL KE ATAS IRAN

DUNIA

21 NEGARA ARAB, ISLAM KECAM SERANGAN UDARA ISRAEL KE ATAS IRAN

Sebanyak 21 negara Arab dan Islam mengeluarkan kenyataan bersama mengecam serangan udara Israel ke atas Iran, serta menyeru agar ketegangan serantau ditangani, pelucutan senjata nuklear dilaksanakan tanpa pilih kasih dan undang-undang antarabangsa dihormati, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kelihatan asap berkepul-kepul dari tapak berhampiran Menara Azadi di tengah Tehran, ketika pertempuran antara Israel dan Iran berterusan pada 16 Jun 2025. Israel dan Iran berbalas serangan pada 16 Jun dalam konfrontasi paling sengit mereka dalam sejarah, mencetuskan kebimbangan konflik berlarutan yang boleh melanda Timur Tengah.

Sumber Gambar: AFP

AMMAN/ISTANBUL: Sebanyak 21 negara Arab dan Islam mengeluarkan kenyataan bersama mengecam serangan udara Israel ke atas Iran, serta menyeru agar ketegangan serantau ditangani, pelucutan senjata nuklear dilaksanakan tanpa pilih kasih dan undang-undang antarabangsa dihormati, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut agensi berita rasmi Mesir, MENA, kenyataan bersama itu dibuat hasil inisiatif Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty yang mengadakan rundingan bersama rakan sejawatnya dari rantau berkenaan.

Negara yang terlibat dalam inisiatif itu ialah Turkiye, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Bahrain, Brunei, Chad, Gambia, Algeria, Comoros, Djibouti, Arab Saudi, Sudan, Somalia, Iraq, Oman, Qatar, Kuwait, Libya, Mesir dan Mauritania.

Para menteri luar mengecam tindakan Israel menyerang wilayah Iran sebagai satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka menegaskan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara, keutuhan wilayah serta prinsip kejiranan yang baik, di samping menggesa agar semua pertikaian diselesaikan secara aman.

Para menteri turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap konflik yang semakin memuncak, sambil memberi amaran tentang implikasi besar terhadap keselamatan dan kestabilan rantau itu.

Mereka menggesa agar Israel segera menghentikan segala bentuk serangan terhadap Iran dan menyeru usaha menyeluruh untuk meredakan ketegangan demi mencapai gencatan senjata.

Ketegangan meningkat sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading