
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan hadir menyempurnakan pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2026.
KUALA LUMPUR: Lima teras utama akan menjadi fokus dalam Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 yang dilancarkan hari ini dan akan berlangsung sepanjang Ramadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kelima-lima teras tersebut akan membantu memperkukuh pengurusan dana wakaf secara lebih sistematik dan berkesan.
“Antara lima teras tersebut ialah Pembudayaan dan Literasi Wakaf yang bertujuan memperluas kefahaman masyarakat serta memudahkan akses kepada saluran wakaf yang sah dan diyakini.
“Teras kedua ialah Tadbir Urus Berintegriti dan Telus yang akan memperkukuh pengurusan wakaf melalui pematuhan kepada piawaian perakaunan Islam serta amalan terbaik tadbir urus. Seterusnya, teras ketiga ialah Pemerkasaan Aset Wakaf Secara Produktif yang memberi tumpuan kepada pembangunan aset wakaf agar lebih berimpak melalui projek kesihatan, pendidikan, pemerkasaan ekonomi, persekitaran, pertanian dan kebajikan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, dua lagi teras utama ialah Pelaksanaan Wakaf Bertempoh (Muaqqat) yang membuka ruang penyertaan lebih luas termasuk kepada sektor korporat bagi sumbangan yang berimpak segera dan fleksibel, serta Pendigitalan Wakaf melalui pengenalan aplikasi mudah alih bagi memudahkan orang ramai berwakaf secara digital.
Aplikasi Go Wakaf turut dilancarkan sempena Bulan Wakaf Kebangsaan 2026, sebagai inisiatif pendigitalan strategik yang juga memudahkan orang ramai melaksanakan ibadah wakaf secara dalam talian melalui telefon bimbit dengan lebih cepat, selamat dan telus.

Pelancaran aplikasi Go Wakaf.

Melalui pendekatan digital ini, Yayasan Waqaf Malaysia menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 menerusi terimaan di semua platform rasmi mereka.
Selain itu, turut diperkenalkan hari ini ialah Garis Panduan Pungutan Dana Wakaf Al-Quran yang bertujuan memastikan amalan mewakafkan Al-Quran dilaksanakan secara lebih teratur, berintegriti serta selaras dengan kehendak syariah dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pengenalan Garis Panduan Pungutan Dana Wakaf Al-Quran.
Bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2026, iklan kesedaran khas yang diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengenai kepentingan dan tatacara berwakaf yang betul akan disiarkan di semua stesen televisyen utama negara bagi meningkatkan literasi wakaf dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 merupakan inisiatif bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Ia telah diperkenalkan sejak tahun 2021 dengan matlamat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan serta potensi wakaf dalam pembangunan sosioekonomi ummah.
Majlis pelancaran sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di TV AlHijrah dan disiarkan secara langsung hari ini. — AlHijrah Online