KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diminta
berhenti mempolitikkan isu dividen dua peratus untuk Lembaga Tabung Angkatan
Tentera (LTAT).
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk
Mohamed Arshad Raji berkata, Najib dan Hishammuddin tidak layak untuk
mengkritik kerajaan kerana penurunan ketara prestasi kewangan LTAT didakwa
berpunca daripada mereka.
Menurutnya, ahli politik dan pembangkang juga perlu berhenti mempolitikkan isu salah urus kewangan LTAT sehingga laporan lengkap berhubung siasatan menyeluruh mengenainya dikemukakan oleh juruaudit.
“Laporan juruaudit LTAT oleh Messrs Ernnst & Young
mendapati transaksi terdahulu mengandungi potensi kelemahan dan ketidaktentuan
dalam operasi, kewangan serta perundangan bagi tempoh antara 31 Disember 2017
dan 31 Disember 2018.
“Terdapat tujuh penemuan penting mengenai penyelewengan dan kelemahan kewangan. Daripada jumlah tersebut, dua adalah kecuaian yang serius dan melibatkan ketidakcekapan yang sebelum ini diterajui oleh bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan, ” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohamed Arshad berkata, terdapat lebihan bayaran dividen
dari tahun kewangan 2014 hingga 2018 yang turut menjejaskan baki pendapatan,
selain pulangan aset bagi tempoh sama lebih rendah berbanding kadar dividen
yang diisytiharkan.
Selain itu, katanya, pernyataan lebih mengenai aset LTAT
antara 2015 hingga 2017 menyebabkan kegagalan, selain menjejaskan pelaburan.
“Kita menggesa semua ketidaktentuan yang ditemui juruaudit
ini didedahkan kepada umum supaya semua penyimpan dan pelabur kembali
mempercayai LTAT.
“Pertuduhan perlu dilakukan ke atas mana-mana ahli
jawatankuasa terdahulu jika terdapat salah laku dan konflik kepentingan dalam
pentadbiran kewangan,” katanya.
Menurutnya, Patriot turut menggesa semua penyelewengan yang
ditemui oleh juruaudit didedahkan kepada umum supaya pendeposit dan pelabur
kembali yakin terhadap LTAT.
“Sekiranya terdapat penyalahgunaan atau konflik kepentingan
dalam pengurusan kewangan oleh mana-mana ahli lembaga sebelumnya, maka dakwaan
yang sewajarnya perlu dikenakan,” katanya.
Kelmarin, LTAT mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya
membabitkan jumlah agihan sebanyak RM161.2 juta.
-Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dilaporkan berkata, pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta. — SINAR HARIAN