JANGAN POLITIKKAN DIVIDEN LTAT – PATRIOT

KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diminta berhenti mempolitikkan isu dividen dua peratus untuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, Najib dan Hishammuddin tidak layak untuk mengkritik kerajaan kerana penurunan ketara prestasi kewangan LTAT didakwa berpunca daripada mereka.

Menurutnya, ahli politik dan pembangkang juga perlu berhenti mempolitikkan isu salah urus kewangan LTAT sehingga laporan lengkap berhubung siasatan menyeluruh mengenainya dikemukakan oleh juruaudit.

“Laporan juruaudit LTAT oleh Messrs Ernnst & Young mendapati transaksi terdahulu mengandungi potensi kelemahan dan ketidaktentuan dalam operasi, kewangan serta perundangan bagi tempoh antara 31 Disember 2017 dan 31 Disember 2018.

“Terdapat tujuh penemuan penting mengenai penyelewengan dan kelemahan kewangan. Daripada jumlah tersebut, dua adalah kecuaian yang serius dan melibatkan ketidakcekapan yang sebelum ini diterajui oleh bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan, ” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohamed Arshad berkata, terdapat lebihan bayaran dividen dari tahun kewangan 2014 hingga 2018 yang turut menjejaskan baki pendapatan, selain pulangan aset bagi tempoh sama lebih rendah berbanding kadar dividen yang diisytiharkan.

Selain itu, katanya, pernyataan lebih mengenai aset LTAT antara 2015 hingga 2017 menyebabkan kegagalan, selain menjejaskan pelaburan.

“Kita menggesa semua ketidaktentuan yang ditemui juruaudit ini didedahkan kepada umum supaya semua penyimpan dan pelabur kembali mempercayai LTAT.

“Pertuduhan perlu dilakukan ke atas mana-mana ahli jawatankuasa terdahulu jika terdapat salah laku dan konflik kepentingan dalam pentadbiran kewangan,” katanya.

Menurutnya, Patriot turut menggesa semua penyelewengan yang ditemui oleh juruaudit didedahkan kepada umum supaya pendeposit dan pelabur kembali yakin terhadap LTAT.

“Sekiranya terdapat penyalahgunaan atau konflik kepentingan dalam pengurusan kewangan oleh mana-mana ahli lembaga sebelumnya, maka dakwaan yang sewajarnya perlu dikenakan,” katanya.

Kelmarin, LTAT mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya membabitkan jumlah agihan sebanyak RM161.2 juta.

-Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dilaporkan berkata, pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta. — SINAR HARIAN

Leave a Reply