KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia menarik balik saman fitnah terhadap kumpulan pro-Palestin – Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata, penarikan saman itu dibuat susulan penjelasan BDS Malaysia bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah bebas sepenuhnya daripada McDonald’s Malaysia.
“Kami ingin menekankan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan semua pihak memahami dengan jelas tentang kedudukan McDonald’s Malaysia dalam konflik yang berlaku di Timur Tengah ketika ini.
“Kami tetap teguh dengan pendirian untuk tidak menyokong serta terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan. Setelah beroperasi lebih empat dekad di Malaysia dan sebagai perniagaan 100 peratus milik orang Islam, kami berbangga menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Azmir menegaskan bahawa McDonald’s Malaysia kekal komited untuk membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik dengan menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan menganjurkan aktiviti mengumpul dana pekerja untuk terus membantu usaha bantuan di Gaza.
“Kami berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan dan fokus mencari resolusi yang menegakkan keadilan,” katanya.
Pada Disember lalu, pemilik francais McDonald’s di Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR), menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada BDS Malaysia atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah dan RM6 juta sebagai ganti rugi khas.
Ganti rugi RM6 juta itu termasuk RM3 juta kehilangan pendapatan, RM1.5 juta bagi pekerja diberhentikan dan RM1.5 juta untuk bahan makanan tamat tempoh.—AlHijrah Onlline