KUALA SELANGOR: Tujuh mangsa terselamat dalam kejadian lori tangki terbalik sebelum terbakar yang turut melibatkan dua kenderaan lain, di Pasir Penambang, di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kemalangan melibatkan lima orang dewasa dan dua kanak-kanak.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2:19 petang sebelum anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori tangki membawa minyak sawit yang terbakar 80 peratus.
“Dua lagi kenderaan yang terlibat adalah sebuah kenderaan MPV jenis Toyota Alphard terbakar 20 peratus dan sebuah kenderaan jenis Proton Saga terbakar 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, pemandu lori tangki tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher.
Manakala dua mangsa lelaki dewasa yang menaiki Alphard cedera ringan.
Turut menaiki kenderaan sama seorang mangsa perempuan dan dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan terselamat.
Bagi pemandu Proton Saga, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan
Kesemua yang cedera dilaporkan telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk dirawat.—AlHijrah Online