Muhammad Adib meninggal dunia

Muhammad Adib Mohd Kassim


KUALA LUMPUR, 18 Disember – Akhirnya dia pergi juga.  Demikianlah anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang mengalami kecederaan parah akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lalu meninggal dunia pukul 9.41 malam tadi  di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut Astro Awani, perkara itu diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin di IJN malam tadi. Pada Ahad lalu IJN mengeluarkan kenyataan memaklumkan  tahap kesihatan Muhammad Adib kembali merosot dengan fungsi paru-parunya yang menurun.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  turut melahirkan rasa yang amat sedih dengan berita kepulangan anggota Bomba itu. Menerusi akaun Twitternya, Dr Mahathir mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Innalillahiwa innailaihi rajiun. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman. Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib atas pemergian beliau. Al-fatihah,” tulis Perdana Menteri.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hassan As’ari Omar berkata, bedah siasat dilakukan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL)  dan terus dimandi, dikafan dan disolatkan di IPFN.

Hassan berkata,  setiba di kampung halaman di Kampung Tebengau, Kuala Kedah,   jenazah Muhammad Adib  akan  dikebumikan dengan penuh istiadat  kebombaan sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Pagi ini jenazah Adib dibawa ke Lapangan Terbang Subang untuk diterbangkan dengan helikopter ke Kuala Kedah.

Muhammad Adib dijangka melangsungkan perkahwinannya dengan Nurul Najihah Mohd Radzi pada 22 Disember ini dan ketika kejadian berlaku semua persiapan majlis telah dilakukan oleh kedua-dua keluarga.  

Sejak berita kematian Allahyarham tersebar seawal pukul 10 malam tadi, hari ini di laman-laman sosial terutama Facebook  turut menyiarkan kad undangan perkahwinan Allahyarham sambil menitipkan doa semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab  dipetik sebagai berkata,  kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Leave a Reply