Pelajar ‘mata dan telinga’ polis

Pelajar kini mula terlibat dengan jenayah lebih ekstrem, selain terlibat dengan kegiatan vandalisme dan pelbagai salah laku lain. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Pelajar sekolah boleh menjadi ‘mata dan telinga’ pihak polis dengan menyalurkan apa sahaja maklumat jenayah kepada pihak polis atau menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam usaha mengekang kegiatan jenayah terutama penglibatan pelajar dengan najis dadah.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob mengesyorkan demikian kerana polis tidak boleh sentiasa berada di sekolah-sekolah.

“Mereka tidak perlu takut kerana identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan dilindungi, segala maklumat akan dikumpul dan diambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Rampai di sini, hari ini, lapor Sinar Online yang memetik Bernama.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Musa yang turut hadir dalam majlis itu berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak polis serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurut beliau lagi, pelbagai program dilaksanakan di 301 sekolah di Wilayah Persekutuan dan fokus utama ialah memberi pendedahan bahaya dadah serta rokok.

Pada 8 Februari lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata pelajar sekolah kini mula berjinak-jinak dengan jenayah yang lebih ekstrem, tidak hanya terlibat dengan kegiatan ponteng sekolah, vandalisme dan buli.

Leave a Reply