
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 kerana ia berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan berkata, pihaknya turut menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program tersebut dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
“Berdasarkan Bayan Linnas Siri ke -351 yang dikeluarkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk “Rain Rave Water Music Festival 2026 : Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan” menyatakan dengan jelas bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun hiburan tersebut hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan syarak” katanya dalam kenyataan.
Justeru, JAWI akan menganjurkan bacaan yassin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hari ini selepas solat Maghrib bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya.
Selain itu, JAWI akan meneruskan pelaksanaan program-program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di medsos dan khutbah Jumaat berkaitan kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri dari terlibat dengan program-program berunsur maksiat. – AlHijrah Online