KAHERAH: Pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh tidak akan dibiarkan tanpa sebarang balasan.
Pegawai Kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pengecut, lapor Reuters.
“Pembunuhan Ismail Haniyeh adalah tindakan pengecut yang tidak akan dibiarkan tanpa balasan,” katanya ketika bersiaran di TV Al-Aqsa kendalian Hamas.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Jurucakap Kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan pembunuhan pemimpin itu hanya akan mencetuskan keadaan lebih serius .
Zuhri juga dilaporkan berkata bahawa Hamas akan melancarkan perang terbuka untuk membebaskan Baitulmuqaddis dan kumpulan itu bersedia membayar sebarang harga, lapor media tempatan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Pemimpin Tertinggi Ali Khamenei berjanji untuk membalas dendam terhadap Israel.
Kor Pengawal Revolusi Iran dalam satu kenyataan berkata, Israel akan berdepan tindak balas yang keras dan menyakitkan.
Jenayah yang dilakukan Zionis itu katanya hanya mahu menutup malu atas kegagalan mereka sepanjang sembilan bulan perang di Gaza.–AlHijrah Online