Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PENUNJUK PERASAAN AS ‘SAMBUT’ NETANYAHU DENGAN PROTES BESAR-BESARAN

DUNIA

PENUNJUK PERASAAN AS ‘SAMBUT’ NETANYAHU DENGAN PROTES BESAR-BESARAN

Mereka bertindak menaikkan bendera Palestin dan membakar bendera AS di luar Union Station di Washington, membantah kunjungan Netanyahu bagi berucap di Kongres AS mengenai konflik Israel-Palestin.

foto AFP

WASHINGTON: Penunjuk perasaan yang menuntut Amerika Syarikat (AS) menghentikan bantuan ketenteraan kepada Israel mengadakan protes besar-besaran sempena lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam.

Mereka bertindak menaikkan bendera Palestin dan membakar bendera AS di luar Union Station di Washington, membantah kunjungan Netanyahu bagi berucap di Kongres AS mengenai konflik Israel-Palestin.

Netanyahu yang mencari sokongan penggubal undang-undang AS untuk perang Israel di Gaza, membentangkan rancangan besar untuk ‘deradikalisasi’ pasca perang Gaza dan menggembar-gemburkan potensi pakatan masa depan antara Israel dan negara sekutu Arab-AS lain.

Sejurus sebelum beliau mula berucap, Polis Capitol AS berkata penunjuk perasaan yang berarak cuba melepasi sekatan dan tidak berganjak apabila diminta bersurai.

Netanyahu mengecam penunjuk perasaan ketika menyampaikan ucapan di Kongres, dengan menyatakan beliau ‘bersimpati’ untuk penunjuk perasaan yang diperalatkan pihak tertentu yang sebenarnya melakukan kezaliman.

“Tentera Tehran bertindak zalim menghukum gantung individu gay menggunakan kren dan membunuh wanita kerana mendedahkan rambut.

“Namun, anda (penunjuk perasaan) memuji, mempromosi dan menyokong serta memberi dana.

“Anda secara rasmi menjadi ‘bahalol yang berguna’ untuk diperalatkan Iran bagi agenda tersendiri,” katanya yang menggunakan istilah era Perang Dingin untuk orang yang diperalatkan untuk agenda politik.

Penunjuk perasaan menafikan tuduhan sedemikian dan mengatakan protes mereka adalah tindak balas kepada krisis kemanusiaan di Gaza yang mengakibatkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk memnjadi pelarian di negara sendiri.

Satu pentas berhampiran lokasi protes berhampiran bangunan Capitol dipenuhi sepanduk, termasuk yang tertera mesej menuduh Netanyahu sebagai ‘Penjenayah Perang Dikehendaki’.

Ia merujuk kepada waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Netanyahu, yang sehingga kini masih menafikan dakwaan jenayah perang.

Turut kelihatan berdekatan, penunjuk perasaan meletakkan hampir 30 keranda kadbod bersaiz manusia yang dibalut dengan bendera Palestin. Lalu lintas di beberapa jalan berhampiran bangunan Capitol ditutup.

Berpuluh-puluh Ahli Parlimen Demokrat tidak menghadiri sesi ucapan Netanyahu kepada Kongres dan menyatakan kekecewaan terhadap kematian serta krisis kemanusiaan di Gaza di mana hampir 40,000 orang awam terkorban akibat perang.

Dalam pada itu, pendakwaraya ICC berkata terdapat alasan munasabah untuk mempercayai Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant serta pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, Mohammed Al-Masri dan Ismail Haniyeh, tanggungjawab atas dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading