KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) membantah hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
SUHAKAM berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.
“Walaupun kami dapat merasakan kesedihan dan keperitan keluarga (mangsa) serta mengiktiraf tahap keseriusan jenayah itu, SUHAKAM tegas dengan pendirian menentang penggunaan hukuman mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, SUHAKAM meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.
“SUHAKAM mengucapkan takziah kepada keluarga Zulfarhan dan maklum akan keputusan Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.
“Namun gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman.
“Ia juga bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia,” katanya.
Selasa lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu selepas diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata, hukuman mati wajar dikenakan terhadap Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Sofi; Najib Razi; Afif Najmudin Azahat; Shobirin Sabri; dan Hakeem Ali dengan mengambil kira kekejaman jenayah yang dilakukan.
Zulfarhan diserang tanpa henti selama dua hari, dari 21 hingga 22 Mei 2017, kerana didakwa mencuri komputer riba milik Akmal.
Pakar patologi Dr Salmah Arshad sebelum ini memberi keterangan bahawa Zulfarhan mengalami 90 kecederaan di seluruh badannya, dengan lebih 80 peratus badannya melecur.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.–AlHijrah Online