Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SPRM BERJAYA BAWA PULANG LELAKI TERBABIT SIASATAN KES 1MDB, SRC

DALAM NEGARA

SPRM BERJAYA BAWA PULANG LELAKI TERBABIT SIASATAN KES 1MDB, SRC

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang seorang individu warga tempatan dari luar negara yang terlibat dalam siasatan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang seorang individu warga tempatan dari luar negara yang terlibat dalam siasatan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menurut sumber, lelaki berkenaan yang sedang dalam siasatan SPRM kerana disyaki menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB serta SRC, telah menghilangkan diri sejak 2018, dan dia tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada pukul 3.30 pagi dua hari lepas.

Sebaik tiba di KLIA2, lelaki itu dikatakan telah diberikan Notis Perintah untuk hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi hari yang sama (Rabu).

“Pegawai SPRM telah merakamkan keterangan beliau dan penggeledahan rumah telah dilakukan pada hari yang sama,” kata sumber itu.

Menurutnya hasil siasatan individu itu dipercayai telah menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited, dan dia juga dipercayai telah menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Sumber itu berkata SPRM berjaya membawa pulang individu berkenaan hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa dari luar negara.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata SPRM sedang berusaha untuk membawa pulang beberapa lagi aset terkait 1MDB daripada beberapa individu yang terlibat di Singapura.

SPRM setakat ini berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading