
Gambar: PDRM
MELAKA: Tiga remaja maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Tambak Paya, awal pagi tadi, dalam kejadian yang sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap isu penunggang bawah umur dan tanpa lesen di negeri ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa Muhammar Adiff Farihin Mohd Anuar, 15, Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16, dan seorang remaja perempuan Nur Khairiah Mat Mazlin, 16 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata, seorang lagi penunggang lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan dua motosikal dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua dan sebuah lagi dari arah bertentangan.
“Ketiga-tiga motosikal dipercayai bertembung depan dengan depan di tengah jalan menyebabkan penunggang motosikal kedua serta penunggang dan pembonceng motosikal ketiga meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, siasatan turut mendapati kesemua penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Katanya akibat kemalangan itu, salah seorang penunggang motosikal turut mengalami putus kaki sebelum disahkan meninggal dilokasi kejadian.
“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman papan pemuka (dashcam) atau saksi bebas di lokasi kejadian setakat ini,” katanya.
Semua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala ketiga-tiga motosikal ditahan bagi pemeriksaan lanjut di Puspakom.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.—AlHijrah Online