ANALISIS BERITA
TV ALHIJRAH: MEMAKNAI PERISTIWA 2025

Oleh: Ardi Herman Mohd Mardzi
“KAMU JAGA ALLAH, ALLAH JAGA KAMU”
7 Disember 2010; telah lebih satu setengah dekad rupanya. Penulis mengimbau detik-detik pelancaran saluran TV dakwah pertama tanah air, TV Alhijrah. Berada di lokasi strategik Kuala Lumpur yang menempatkan Pusat Penyiaran Digital dan pejabat operasinya, ketika itu wujud perasaan skeptikal tentang survival saluran patuh syariah ini.
“Boleh bertahan?
Mampu bersaing dengan gergasi media lain yang mendominasi tontonan TV pada waktu itu?”
Pejam celik, 15 tahun berlalu. 1 Muharram 1447 Hijrah yang disambut pada 27 Jun lalu sekali lagi menambah usia TV Alhijrah. Jika seorang murid sekolah dijadikan analogi, maka murid yang bernama TV Alhijrah kini telah berada di tingkatan tiga.
Perasaan skeptikal tentang survival TV Alhijrah, penulis jawab sendiri di dalam hati.
“Ini platform dakwah, insha Allah. Dan dakwah kepada audience yang besar. Ratusan ribu penonton malah jutaan! Allah akan jaga TV Alhijrah. Kita kena yakin!”
CABARAN DAN JATUH BANGUN
Pastinya 15 tahun itu penuh warna warni. Segala liku, onak dan duri yang diharungi industri media di seluruh dunia, TV Alhijrah tidak terkecuali. Daripada ujian gelombang virus pembunuh COVID-19 yang memuncak pada 2020 dan 2021 hingga mencetus ketidaktentuan hidup manusia, hinggalah kepada perubahan kecanggihan teknologi, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) kini.
Pengamal media akui, cabaran ini bukan sahaja perlu ditangani dengan menambah ilmu dan kemahiran serta menambah nilai multiskill dalam diri, tetapi juga memperakui bahawa perlunya dinamika dalam berdepan cabaran semasa.
“Pengamal industri media arus perdana tidak boleh ‘selesa’ dengan cara konvensional, sebaliknya mengkaji apakah keupayaan maksimum mereka dalam mencapai penonton, pendengar dan pembaca seramai mungkin pada masa kini dan akan datang.
“Corak permainan dalam gelanggang industri media harus diberi sentuhan yang pelbagai. Saluran TV harus meletakkan sesebuah program yang diterbitkan di ‘tempat yang betul’ dan mengenai kelompok penonton yang disasarkan.”
Namanzee Harris,
CEO TV Alhijrah.
BERITA SEMAKIN PANTAS
Penulis sependapat dengan Namanzee, dan mengakui, dalam konteks penerbitan program Berita dan Ehwal Semasa pun, tiga hingga lima tahun kebelakangan ini menyaksikan ‘pergerakan’ sesebuah berita semakin pantas.
Apatah lagi pelbagai aplikasi dan perisian yang membolehkan sesiapa sahaja mengendalikan siaran langsung dari mana-mana sahaja lokasi di dunia, hanya dengan akses internet.
“News travels very fast these days.”
Namanzee Harris,
CEO TV Alhijrah
Kecanggihan dan kepantasan ini memberi kelebihan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih pantas dan segera. Sebagai contoh, penulis hanya perlu akses media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk melihat secara langsung pergerakan kapal-kapal yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla pada bulan September lalu, malah mendapat tahu pergerakan dan aktiviti para aktivis di dalam sesebuah kapal.
“Serbuan tentera negara haram Israel ke atas kapal-kapal sukaralewan pun boleh ditonton dari seluruh dunia melalui kamera litar tertutup (CCTV) di atas kapal. Itu pun selagi tentera itu tidak menyekat akses internet atau memusnahkan kamera CCTV di atas kapal.”
Nadzirah Sharingat
Editor Berita TV Alhijrah
SUARA GAZA MESTI DIDENGARI
Bercakap tentang kempen Sumud Nusantara yang dinaungi gerakan Global Sumud Flotilla, penulis bangga kerana TV Alhijrah menjadi sebahagian daripada projek gergasi demi pembebasan rakyat Palestin, khususnya di Gaza itu.
Lebih menyemarakkan semangat, kerajaan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh inisiatif berkenaan melalui peranannya sebagai penaung, dengan sinergi pelbagai NGO kemanusiaan seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Gaza Malaysia dan banyak lagi.
Penyertaan kru Berita Alhijrah, Serieffa Mushtafa Albakry dan Mazian Seman sebagai sukarelawan Sumud Nusantara juga menepati pendirian editorial Berita dan Ehwal Semasa TV Alhijrah yang meletakkan tanggungjawab menyebar luas musibah kemanusiaan dan Nasib yang sedang menimpa saudara seagama kita di tanah suci Palestin.

Ketika kempen Sumud Nusantara berlangsung sekitar September dan Oktober lalu, kecaknaan dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap pergerakan anak kapal di dalam flotilla menuju Gaza juga dapat dilihat apabila jumlah tontonan di TV dan platform digital TV Alhijrah mencapai 300 juta tontonan secara kumulatif, satu angka yang sangat besar.
“Rakyat Malaysia dengan isu kemanusiaan di Palestin sangat dekat, dan mereka memilih TV Alhijrah sebagai salah satu platform sama ada melalui TV atau media sosial untuk mengikuti perkembangan situasi genosid di sana.”
Nadzariah Mohamed,
COO TV Alhijrah
“Kita harap hebahan hingga mencapai ratusan juta tontonan ini, sedikit sebanyak mampu menggerunkan Zionis Israel, kerana dunia telah mula melondehkan perbuatan keji mereka. TV Alhijrah akan terus main peranan, termasuk advokasi tentang isu kemanusiaan di Palestin kepada penonton khususnya di platform digital.”
Zaim Zamani,
Ketua Unit Kandungan Digital, TV Alhijrah
KE DEPAN: POTENSI DAKWAH MELALUI A.I.
Biar pun bergelar saluran dakwah, mana mungkin TV Alhijrah meminggirkan teknologi canggih dan terkini. Eksplorasi terhadap visual janaan Kecerdasan Buatan atau AI, audio muzik AI dan penulisan skrip AI sedang rancak dilakukan bermula tahun 2025.
Antara karya terawal visual dan muzik yang dijana oleh AI di TV Alhijrah adalah menerusi program rintis usahawan asnaf, Projek Bangkit dan program berkonsepkan sirah – Biografi Agung. Penceritaan menerusi visual yang menyokong kisah sirah juga dilihat berperanan penting dalam memberi gambaran sesebuah cerita sejarah satu ketika dahulu.

Banyak lagi klip video yang dijana oleh AI sedang diterbitkan TV Alhijrah, malah sedang disesuaikan dengan konteks pendidikan dan dakwah kepada khalayak. Penerbitan karya visual dan audio terbitan AI juga dijangka mendominasi sebahagian program-program bersesuaian agar ia mampu menarik minat para penonton untuk menikmati kesan yang lebih menarik dan bermutu.
Manakala dalam aspek penulisan berita pula, AI dilihat banyak membantu mengolah, mencerna dan mencerakin malah menyingkatkan tempoh penulisan skrip.
Di samping itu, keupayaan menterjemah dan mentranskrip hingga mengemukakan syor-syor angle story yang agak menarik turut dapat dilakukan. Antara aplikasi AI yang mula diguna pakai bagi penulisan skrip program Berita Alhijrah termasuklah ChatGPT, Pinpoint, Microsoft Editor dan lain-lain.
Bagi TV Alhijrah, tahun 2026 dijangka lebih semarak dengan penghasilan karya-karya lebih kreatif dengan sokongan dan janaan oleh AI. Siri latihan, demonstrasi dan kursus sedang giat dianjurkan dan disertai kakitangan TV Alhijrah bagi memastikan ilmu AI terus dicambah dan pengetahuan mengenainya dapat diperolehi dan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Bukan itu sahaja, sokongan daripada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dr. Zulkifli Hasan kepada TV Alhijrah dalam eksplorasi dan eksperimentasi AI juga amat menggalakkan. Beliau sendiri dipersembahkan tentang usaha TV Alhijrah dalam memanfaatkan AI dalam karya-karya terbitan terkini dan akan datang.
“Saya kagum dengan karya-karya yang diterbitkan oleh TV Alhijrah dengan menggunakan AI. Ia wajar diaplikasikan dalam menghebahkan pengisian dakwah dalam kalangan masyarakat melalui agensi-agensi hal ehwal agama.”
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
“Tahun 2026, TV Alhijrah ada peruntukan khas khusus untuk kandungan digital dan AI. Teknologi tersebut penting bukan sahaja mempercepatkan proses kerja, malah menjimatkan kos penerbitan sesebuah kandungan.”
Mohd Khair Ngadiron,
Pengerusi TV Alhijrah
RAMADAN: TV ALHIJRAH JADI PILIHAN
Satu lagi pencapaian luar biasa 2025 TV Alhijrah adalah apabila berjaya berada dalam kelompok tiga teratas sebagai saluran televisyen pilihan penonton Melayu sepanjang minggu pertama Ramadan.
Peningkatan tontonan sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya adalah rekod baharu yang dicipta, lebih-lebih lagi pada minggu pertama Ramadan dan ia berterusan hingga ke malam-malam akhir bulan mulia itu.

Kejayaan itu didorong oleh penerbitan program-program dalam slot Maghrib seperti Kalam Junjungan, Taranum Challenge, Ibrah Ramadan dan Panggilan Ilmu, serta slot awal pagi seperti Assalamualaikum Sahur dan Assalamualaikum Subuh yang disiarkan secara langsung, ketika umat Islam bangun untuk bersahur.
“Mereka inilah (tim penerbitan Assalamualaikum) wajah-wajah yang tak tidur malam di bulan Ramadan, menyediakan kandungan untuk hidangan rohani ketika sahur, dan berlanjutan hingga ke Asar ketika orang lain sibuk menyediakan juadah berbuka.”
Ustazah Nazirah Abu Bakar,
Personaliti Dakwah
Pastinya untuk Ramadan akan datang, resepi TV Alhijrah dalam memenuhi selera penonton akan tetap dihidangkan. TV Alhijrah akan terus berperanan mengajak penonton memuliakan bulan mulia itu agar dimaknai dengan sepenuh jiwa, lebih-lebih lagi ia ruang dan peluang untuk memohon rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka daripada Allah.
KISAH KEJAYAAN (SUCCESS STORY)
Alhamdulillah, dengan munculnya TV Alhijrah di tanah air, ia melengkapi ekosistem dakwah Islam yang kini kian pesat. 14 agensi agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kini agresif dalam memastikan Islam dapat dinikmati sebagai cara hidup yang sempurna di sebuah negara majmuk dengan masyarakatnya yang Madani.
Saban hari, kisah kejayaan atau success story tentang pembangunan agama Islam di Malaysia sentiasa dikhabarkan. Malaysia, tidak syak lagi telah dikenali dunia melalui pelbagai pengiktirafan yang sekali gus menjulang nama Islam di negara ini.
Sebagai contoh, Tabung Haji (TH) sememangnya dikenali sebagai badan pengurusan ibadah haji yang terbaik di dunia. Begitu juga sistem kewangan dan perbankan Islam yang memperlihatkan Malaysia mempelopori pelbagai inovasi dan produk yang menepati tuntutan syariah.
Pengiktirafan Sijil Halal keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak dapat dinafikan, Malaysia tetap utuh dalam menjadi contoh kepada negara luar. Ekosistem pensijilan halal negara sentiasa menjadi penanda aras global malah diyakini pihak luar.
Banyak lagi success story membabitkan hal ehwal agama Islam dapat disaksikan mutakhir ini. Agensi-agensi agama lain turut melangkah ke hadapan dalam memperkasa fungsi dan peranan masing-masing.
Di peringkat masyarakat dan akar umbi, nilai-nilai Islam juga diterapkan hingga sekecil-kecil perkara. Usah diremeh soal kebersihan kerana ia sebahagian daripada iman. Itulah sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil perhatian serius terhadap isu kebersihan tandas, terutama di sekolah-sekolah, serta mentransformasi gerai-gerai uzur kepada yang wajah yang lebih segar dan ceria.
Bagi Perdana Menteri, hal ini penting kerana ia menterjemah budaya dan amalan mulia kehidupan bermasyarakat yang menepati tuntutan agama Islam.
PEGANG WASIAT AGUNG
Bos kepada penulis, Namanzee pernah menyebut, asas kepada segala perkara waima penerbitan kandungan dan program di TV Alhijrah sekali pun, pastinya berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Itu wasiat yang ditinggalkan junjungan besar kekasih Allah, Muhammad Salallahu ‘alaihi Wassalam.
“Apa yang disentuh di dalam Khutbah terakhir baginda itu harus dilaksanakan kerana itu wasiat agung. Risalah Islam wajib disampaikan kepada umat. Maka berpeganglah kepada Al-Quran dan As-Sunnah, agar kita tidak jauh terpesong dan menjerumus diri ke dalam neraka.”
Namanzee Harris,
CEO TV Alhijrah
Berpegang kepada tanggungjawab yang perlu dilunaskan itu, TV Alhijrah dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) memperkenal inisiatif dipanggil Wakaf Media, bagi membolehkan masyarakat berwakaf bagi penerbitan program-program berkait ilmu tadabbur Al-Quran dan Hadis. Mudah-mudahan masyarakat pewakaf turut memperoleh ‘saham’ akhiratnya melalui sokongan dana wakaf yang disumbangkan melalui inisiatif tersebut.
TERIMA KASIH 2025
Melabuhkan tirai 2025, TV Alhijrah zahirkan penghargaan luar biasa kepada penonton yang dikasihi. Buat julung kalinya, warga kerja TV Alhijrah berkampung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk mengajak orang ramai menyertai program-program percuma berskala besar yang tidak pernah kami tawarkan sebelum ini.
Tiket percuma bagi Konvensyen Assalamualaikum bertemakan Perjalanan Menuju Kepada-Nya, Bengkel Solat dan Konsert Malam Hijrah Bergema, laris dalam masa singkat bagaikan pisang goreng panas.
Konsert Malam Hijrah Bergema menerima reaksi balas dan pujian hadirin dan penonton, malah warganet bercakap panjang lebar memuji sebuah program yang disifatkan berprestij itu di media sosial.

Terima kasih kepada yang datang. Amat terharu dengan hadirin yang bertegur sapa, berswafoto, beramah mesra sambil memberi kata-kata dorongan, malah mengucapkan tahniah dan mendoakan istiqamah kami sebagai media dakwah. Buat para asatizah yang sentiasa menyokong dan mendoakan, moga kalian terus berperanan menyebar ilmu dan kefahaman agar masyarakat terus berada di landasan yang betul.

Apa yang kami hidangkan kepada penonton selama ini, adalah hasil usaha, pengorbanan dan dedikasi setiap kakitangan, pastinya dengan tunjuk ajar, nasihat dan buah fikiran daripada anggota pengurusan dan ahli-ahli lembaga pengarah.
“Kepimpinan yang bervisi, dan kerjasama sepasukan yang mantap. Inilah ramuan yang ada pada TV Alhijrah, yang menyokong kejayaan saluran ini pada tahun 2025.”
Shamsul Qamar Abdul Rani,
Ahli Lembaga Pengarah TV Alhijrah
Moga TV Alhijrah terus sukses dan berada dalam perlindungan Allah sentiasa. Sebagaimana saya tulis di awal artikel ini, mudah-mudahan Allah menjaga saluran TV istimewa ini yang telah banyak menyebar-biakkan risalah agama, ilmu dan hiburan kepada rakyat Malaysia.
Selamat menempuh tahun 2026, moga lebih cemerlang dalam usaha dakwah, beri kefahaman dan ilmu kepada semua. Amin ya rabbal ‘alamin.
Penulis adalah Pengurus Berita dan Ehwal Semasa, TV Alhijrah.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.
Related
Discover more from ALHIJRAH ONLINE
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
