USAHA BERI PENDIDIKAN AGAMA DAN AKADEMIK SECARA PERCUMA

Pelajar, tenaga pengajar dan wakil EZ Qurban bergambar di hadapan WEDO Educational Centre.

KEMBOJA: Pendidikan merupakan jambatan terutama bagi mereka yang dari keluarga yang susah untuk mengubah nasib hidup dan keluarga.

Namun kos pendidikan yang terpaksa ditanggung menyebabkan sesetengah ibu bapa tiada pilihan dan membuat keputusan untuk tidak menghantar anak-anak untuk ke sekolah.

Zahry Ismael, penduduk di Kampung Phum Thmey di Kemboja memahami kesulitan yang banyak dihadapi ibu bapa di kampungnya itu untuk memberi pendidikan kepada anak-anak.

Oleh itu dia membuka WEDO Educational Centre di Kampung Phum Thmey, Kemboja yang menawarkan pendidikan agama dan akademik percuma untuk anak bangsanya.

Zahry yang juga mudir WEDO Educational Centre berkata, kos pengurusan pusat pendidikan itu menggunakan dana sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat dari Malaysia iaitu EZ Qurban.

“Islam merupakan minoriti di Kemboja. Jadi sekolah ini menjadi wadah dakwah di kampung ini dan menjadi asbab nilai Islam dipandang tinggi masyarakat setempat.

“Kami menerima pelajar dari semua latar belakang tidak kira mereka Islam, bukan Islam atau pelajar bermasalah yang dibuang dari sekolah. Kami berusaha untuk memberi pendidikan dan mengubah akhlak mereka menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui di Kampung Phum Thmey.

Zahry Ismael (tengah).

Graduan Universiti di Riyadh, Arab Saudi dalam bidang Usuluddin berkata sebelum sekolah tersebut dibuka dia mula mengajar anak-anak setempat di rumah ibu mertuanya.

Sambutan menggalakkan melalui kelas tambahannya itu menyebabkan dia mendapat bantuan keluarga, NGO dan EZ Qurban untuk membuka sekolah yang dapat memberi manfaat kepada ramai pelajar.

Selain mengharapkan bantuan, Zahry turut berusaha mencari dana untuk menampung perbelanjaan persekolahan melalui pertanian dan penternakan.

Saksikan kisah Zahry dan bagaimana pelaksanaan ibadah korban di Kampung Phum Thmey, Kemboja dalam program Rehlah Ibrahim yang akan disiarkan 8.30 malam ini di TV AlHijrah.

Rehlah Ibrahim merupakan sebuah program travelog yang membawa kisah dan teladan Nabi Ibrahim.

Orang ramai yang berminat untuk melakukan ibadat korban serendah RM350 sebahagian melalui EZ Qurban boleh layari http://www.ezqurban.org atau hubungi 1-800-885-885 untuk maklumat lanjut. — AlHijrah Online

Leave a Reply