BAYARAN STR 3 DIPERCEPATKAN, DISALURKAN SEBELUM HARI RAYA AIDILADHA

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR 3) akan dipercepatkan dan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha.
Menurut Kementerian Kewangan lebih 8 juta golongan B40 yang layak bakal menerima STR 3 mulai 26 Jun 2023.
“Kerajaan telah memutuskan pembayaran STR 3 dipercepatkan dan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha berbanding perancangan awal pada bulan Julai 2023. Ini adalah bagi meringankan beban kewangan rakyat,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pembayaran itu membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion di mana penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.
Bayaran akan dikreditkan terus kepada penerima yang mempunyai akaun bank mulai 26 Jun hingga 5 Julai 2023.
Bagi mereka yang tiada akaun bank, pembayaran tunai akan dibuat melalui cawagan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Jun 2023.
Fasa pertama dan kedua STR telah disalurkan pada bulan Januari dan April lepas dan ketiga- tiga fasa STR ini melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi tahun 2023.
Pembayaran fasa keempat STR dijangka pada bulan November 2023.
Status kelulusan STR 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun 2023 dan sebagai langkah memastikan program STR 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai 2023.
Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 ini boleh dilayari di Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my. — AlHijrah Online