Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

NAWAITU ‘SATUKAN UMMAH DENGAN ILMU’

ANALISIS BERITA

NAWAITU ‘SATUKAN UMMAH DENGAN ILMU’

Pelbagai program diterbitkan TV Alhijrah merangkumi segenap aspek kehidupan yang menepati cara hidup Islam

Oleh: Ardi Herman Mohd Mardzi

HASRAT

Apabila TV Alhijrah memperkenalkan slogan ‘Satukan Ummah Dengan Ilmu’ dan digunapakai untuk tahun ketiga berturut-turut (sejak 1444H/2022), ternyata itulah salah satu hasrat yang terbuku di sanubari penulis dan para kakitangan agar dapat melihat keberbaloian hasil usaha dan keringat yang dicurahkan membuahkan bibit-bibit penyatuan umat sebagaimana dituntut agama Islam.

Penulis yang baru 14 tahun bertugas di TV Alhijrah (sejak penubuhannya pada 1 Muharam 1432H / 7 Disember 2010) secara peribadi mengimpikan setiap program yang diterbitkan dan disusun atur mencapai nawaitu agar kami (para kakitangan) nalar memperoleh tempias keberkatan dan pahala apabila para penonton memperoleh manfaatnya, jauh sekali memundurkan orang ramai.

Alhamdulillah, hari ini, pada tahun 2024 TV Alhijrah kekal relevan biar pun pada awal penubuhannya, ada segelintir yang meragui sejauh mana TV dakwah ini boleh bertahan, berikutan sifatnya yang khusus atau ‘niche’ dakwah, agama dan Islamik.

Pun begitu, penerimaan khalayak penonton dari pelbagai latar golongan telah membuktikan, TV dakwah ini mampu bertahan, malah kian mendapat sambutan daripada masyarakat seluruh negara termasuk di beberapa negara luar.

Inilah TV Alhijrah, satu-satunya saluran TV dinamik di Malaysia walaupun terpaksa bersaing hebat dan bergelumang dengan lambakan saluran dan platform lain yang cenderung menghidangkan aneka hiburan, drama, filem, persembahan pentas, realiti dan sukan dalam menarik perhatian masyarakat umum.

Hal ini terbukti apabila TV Alhijrah pernah berada pada kedudukan kelima dalam senarai 25 saluran TV berbahasa Melayu, menerusi laporan agensi penyelidikan AC Nielsen, mengatasi saluran RTM1, RTM2, Awesome TV, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan lain-lain.

CABARAN DAKWAH

Dalam era masa kini dengan kecanggihan perkembangan teknologi yang semakin ‘advance’, cabaran menyebarkan dakwah juga semakin hebat. Tidak terkecuali, platform media arus perdana; TV dan radio serta media sosial.

Sewaktu tertubuhnya TV Alhijrah lebih 14 tahun lalu, penulis yang ketika itu seorang wartawan penyiaran cabuk sangat optimis bahawa kewujudan saluran itu mampu menjadi salah satu platfrom dakwah yang memiliki dinamika tersendiri.

Platform media baharu semakin mendominasi sikap dan gaya hidup masyarakat dalam mendapatkan ilmu dan maklumat

Penulis yakin TV Alhijrah berupaya menjemput masyarakat untuk tertarik dengan dakwah Islamiah melalui wadah kreatif, sekali gus menyebar sebanyak mungkin ilmu dan maklumat semasa kepada khalayak.

Alhamdulillah, selepas mencapai usia ‘akil baligh’ kini TV Alhijrah malar utuh malah kekal relevan melalui sokongan penonton setianya, dengan dukungan kuat kerajaan pemerintah.

Biar pun pernah melalui fasa jatuh bangun, lebih-lebih lagi dalam mendepani arus perubahan teknologi yang menyaksikan dominasi kecenderungan masyarakat terhadap media sosial, TV Alhijrah tidak boleh tenggelam dan harus mengadaptasi senario itu!

Jika pada zaman dahulu, para nabi dan rasul berdepan cabaran dan tentangan yang hebat dalam usaha dakwah mereka, termasuk diperlekeh segala seruan untuk mentauhidkan Allah kepada kaum mereka namun cabaran dakwah pada masa kini jauh berbeza.

Lambakan informasi dan maklumat yang tidak sahih di media sosial turut menjadi ancaman semasa bagi usaha dakwah. Masyarakat hari ini perlu mengambil sikap Tabayyun (selidik) sebelum membuat penilaian terhadap  bahan yang dibaca, didengar dan ditonton itu adalah perkhabaran dan fakta yang berasas atau sebaliknya.

Benar, masyarakat boleh membuat pilihan, namun harus bijaksana dalam menilai baik buruk kandungan untuk mereka. Inilah kecaknaan TV Alhijrah apabila sering meletakkan ‘kasut’ di tempat para penonton yang sentiasa mendambakan ilmu pengetahuan melalui kandungan kreatif dan inovatif.

Tidak boleh dipinggirkan – cabaran semakin hebat apabila semua orang boleh meluah dan menzahirkan pandangan di media sosial. Biar pun ia satu pendekatan baharu perkongsian maklumat, namun ia tetap manifestasi hak kebebasan bersuara terus terjamin di negara kita.

Terkini, kandungan audio yang boleh dipertonton, iaitu podcast menjadi trend dalam berkongsi pandangan secara santai. Semua orang kini boleh ‘berpodcast’, bercerita, berkongsi dan meluahkan apa sahaja.

Hanya pendengar dan penonton yang perlu bijaksana dalam menilai baik buruknya kandungan yang dikongsikan. Terkadang juga dikongsi isu-isu sensitif yang agak sensasi, namun pendengar dan penonton eloklah berwaspada kerana bimbang ia bukan perkara benar, malah boleh memudaratkan pemikiran, dan lebih buruk lagi menjurus fitnah.

MEMBANGUNKAN UMAT DAN MASYARAKAT

Alhamdulillah, peranan hampir satu setengah dekad TV Alhijrah dalam berkongsi ilmu, maklumat dan khabar berita amat dihargai penonton setianya. Meletakkan diri sebagai salah seorang perantara, penulis bersyukur malah terharu dengan dukungan penonton setia yang ingin perjuangan dakwah dan usaha menyatukan ummah melalui ilmu melalui platform TV ini diteruskan.

Saban hari, segmen taddabur Al-Quran menerusi program bual bicara pagi Assalamualaikum terbitan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa merekodkan kepenontonan di platform Facebook Live yang tinggi ketimbang program bual bicara pagi di saluran lain.

Begitu juga segmen mingguan interaktif seperti segmen Faraid, Fiqh, Du’at Al Falah dan Kelas Mengaji yang turut mendapat tempat dalam kalangan penonton, malah saling memberi maklum balas positif khalayak penonton.

Tidak ketinggalan, program seperti Berita Alhijrah setiap malam yang turut berperanan membuka minda masyarakat tentang isu-isu semasa yang perlu dicaknai. Sebagai contoh, konflik di Gaza yang menjengah hampir setahun telah menjadi ‘top stories’ selama berbulan-bulan.

Hal ini berikutan kesungguhan pasukan editorial Berita Alhijrah yang mahu masyarakat global memahami perjuangan membebaskan Al-Aqsa sebagai salah satu agenda penting dalam kehidupan umat, pada masa sama menyokong kuat pendirian kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sememangnya pemimpin vokal dan istiqamah dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Palestin.

Pelbagai konteks konflik di Gaza telah dibawakan menerusi Berita Alhijrah hinggakan platform media sosialnya kini dihujani lambakan pengikut yang meletakkan kepercayaan untuk melihat perkembangan semasa di bumi suci Palestin menerusinya platform tersebut.

Pencapaian hingga 1.1 juta pengikut di aplikasi TikTok Berita Alhijrah manifestasi kecenderungan masyarakat untuk mendapatkan sumber berita melalui platform media sosial semakin bertambah.

Terima kasih kepada hampir 1.2 juta pengikut di laman TikTok Berita Alhijrah yang terus menantikan maklumat-maklumat dan perkhabaran yang dibawakan termasuklah menerusi penstriman langsung, demi manfaat bersama umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Konsep drill and grill juga menjadi sebahagian ekosistem program Berita dan Ehwal Semasa apabila wartawan lokasi berusaha menyediakan laporan khas berita berkait isu-isu semasa dan dipaparkan menerusi Berita Alhijrah, sebelum dipanjangkan kepada kupasan mendalam (grill) dalam bual bicara berkonsepkan hard talk seperti Analisis untuk dibincangkan secara mendalam dan ilmiah.

Sebahagian topik-topik yang dibincang menerusi program ‘hard talk’ Analisis yang disiarkan secara langsung bertujuan memperjelas sesuatu isu pada perspektif ilmu dan agama untuk kefahaman penonton

Banyak lagi program diterbitkan bagi tujuan memandaikan umat melalui ilmu-ilmu agama yang hakikatnya menepati konsep Islam is The Complete Way of Life (Islam adalah cara hidup). Program seperti Cinta Ilmu, Quran@114, Mata Hati MADANI, Carta 114, Podcast SISI TV, Labbaikallah, Glob Alhijrah, Bicara Fail Syariah, Reflections, Fiqh Awlawiyat dan Fiqh Al Mizan (berlandaskan gagasan pemikiran Almarhum Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi), Risalah Imam Al-Syafie, Hijrah Berselawat, Riwayat Akhir Zaman dan banyak lagi telah diterbitkan sejak 14 tahun lalu dengan tungkus lumus kakitangan yang pastinya mendambakan sedikit sebanyak tempias keberkatan di atas tugasan ibadah yang dilaksanakan ini.

Usaha mencerdikkan masyarakat melalui program-program di TV Alhijrah juga didukung oleh para ilmuan, cendekiawan, asatizah dan profesional yang menyumbang ilmu dan pengalaman dalam memastikan matlamat mencelikkan ilmu untuk masyarakat berjaya direalisasikan, seiring hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menekankan gagasan Pelan Transformasi Al-Falah yang meletakkan hasrat Mengangkat Martabat Insan dan Membangun Malaysia Madani.

HIKMAH DI SEBALIK COVID-19

Penulis teringat peranan yang dimainkan TV Alhijrah sewaktu ketakutan melanda dunia ekoran munculnya virus pembunuh COVID-19. Ketika banyak organisasi media serta perniagaan kecil dan sederhana gulung tikar, waktu itulah pengurusan tertinggi TV Alhijrah yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Hj Namanzee Harris di samping nasihat berguna Lembaga Pengarah memutuskan untuk membantu usahawan-usahawan yang terjejas melalui slot jualan pada harga berpatutan, malah ada yang ditawarkan secara percuma bagi memulihkan perniagaan mereka.

Hal ini menterjemah semangat dan kesungguhan TV Alhijrah untuk turut membantu membangunkan ekonomi masyarakat kerana menyedari tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan adalah ibadah yang sangat dituntut oleh agama dan amalan yang sering dilakukan junjungan besar Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wassalam.

TV Alhijrah bukan sahaja berdakwah melalui kandungan yang diterbitkan, tetapi juga melaksanakan tanggungjawab untuk membangun dan mengupayakan masyarakat untuk terus maju dan tidak hidup dalam kemunduran.

TERIMA KASIH KERANA BERTERIMA KASIH

Nikmat Islam yang sedang dirasai umat di Malaysia wajar disyukuri. Senangnya akses untuk melaksanakan syariat agama di negara ini wajar direnungi, apatah lagi mudahnya mencari ilmu yang menjadi panduan untuk hidup di muka bumi melalui pelbagai kaedah dan cara.

Tanggungjawab untuk ilmu disampai, dihebah, dikongsi dan diuar-uar sedang dilaksanakan TV Alhijrah, sebagai salah satu wadah untuk membangunkan umat Islam dan masyarakat secara keseluruhannya.

TV Alhijrah turut mendukung aspirasi YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan agensi-agensi
agama Islam yang dinaunginya.

Biarlah ombak dan gelora diharungi, mendepani arus dan kebanjiran saluran hiburan tanpa tapisan yang dikhuatiri memudaratkan, TV Alhijrah istiqamah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pemerintah dan rakyat dalam menyebarkan ilmu dan dakwah untuk sekecil-kecil manusia hinggalah ke warga yang telah lanjut usia.

Terima kasih kerana terlalu ramai yang berterima kasih kepada TV Alhijrah atas usaha saluran itu menghidangkan karya dan kandungan alternatif yang membina minda dan mendidik umat yang dilihat mampu melorongkan masyarakat untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Penulis yang juga kakitangan TV Alhijrah sendiri teramat bersyukur kerana selama 14 tahun bertugas, penulis sedikit sebanyak dapat mempelajari dan menyerap ilmu melalui program-program yang diterbitkan rakan sepasukan, untuk diaplikasikan dalam kehidupan.

Penulis juga yakin, ramai di luar sana yang turut mendapat manfaat melalui kandungan yang disiarkan di TV Alhijrah, dan mudah-mudahan dapat mencorak kehidupan yang lebih baik dan menjadi hamba Allah yang lebih mulia di sisi-Nya.

Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Penulis adalah kakitangan yang akan menyambut ulang tahun ke-14 tugasannya di TV Alhijrah pada 4 Oktober 2024 ini.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in ANALISIS BERITA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading