Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

WAKAF SERENDAH RM1, TV ALHIJRAH SASAR BANGUN PUSAT WAKAF MEDIA NEGARA DALAM TEMPOH SEDEKAD

DALAM NEGARA

WAKAF SERENDAH RM1, TV ALHIJRAH SASAR BANGUN PUSAT WAKAF MEDIA NEGARA DALAM TEMPOH SEDEKAD

TV AlHijrah melancarkan inisiatif Wakaf Media dengan menawarkan peluang kepada masyarakat untuk menyumbang serendah RM1, sekali gus menyasarkan transformasi stesen penyiar itu sebagai Pusat Wakaf Media Negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

KUALA LUMPUR: TV AlHijrah melancarkan inisiatif Wakaf Media dengan menawarkan peluang kepada masyarakat untuk menyumbang serendah RM1, sekali gus menyasarkan transformasi stesen penyiar itu sebagai Pusat Wakaf Media Negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Inisiatif dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) itu bertujuan memperkasakan kandungan dakwah digital dan memastikan keberlangsungan program agama agar dapat dinikmati secara berterusan oleh umat Islam di pelbagai platform.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, Wakaf Media merupakan satu bentuk jihad media yang membolehkan masyarakat dan badan korporat bersama-sama menyokong penyebaran ilmu menerusi capaian media yang lebih meluas.

“Kita mahu masyarakat bersama dalam proses dakwah ini kerana media mempunyai capaian yang sangat besar. Melalui wakaf ini, kita dapat memastikan keberlangsungan operasi dakwah media memandangkan sumber kewangan sedia ada mempunyai keterhadan.

“Sasaran kita dalam tahun pertama adalah untuk pendanaan program besar seperti Quran@114 dan Hadis@114. Menjelang tahun kelima hingga ke-10, kita menyasarkan pembangunan Pusat Media Wakaf Negara di mana seluruh ekosistem termasuk studio, peralatan, dan bangunan dijana sepenuhnya melalui dana wakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelancaran inisiatif berkenaan di Kompleks Penyiaran Digital TV AlHijrah, Pusat Islam, di sini, siang tadi.

Mengulas mengenai pengurusan dana, Namanzee menjelaskan bahawa kesemua sumbangan tunai akan dikawal selia sepenuhnya oleh Yayasan Wakaf Malaysia bagi menjamin ketelusan dan sistem semak dan imbangan yang tinggi.

Katanya, dana yang terkumpul akan digunakan untuk membiayai kos penerbitan, kajian kandungan, serta bayaran kepakaran bakat bagi memastikan kualiti program dakwah sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Pewakaf boleh menyumbang serendah RM1 melalui imbasan kod QR atau pemotongan bulanan. Sebagai contoh, jika seorang individu menyumbang RM10 untuk program Quran@114, sebahagian daripada pengisian yang ditonton oleh jutaan orang itu sebenarnya dibiayai oleh hasil wakaf tersebut.

“Bagi pewakaf korporat, sumbangan ini juga melayakkan mereka mendapat pelepasan cukai kerana ia disalurkan melalui Yayasan Wakaf Malaysia yang merupakan agensi wakaf nasional,” katanya.

Beliau menambah, sifat media yang beroperasi 24 jam sehari menjadikan wakaf ini sebagai pelaburan akhirat yang berterusan tanpa henti seiring dengan hasrat menjadikan stesen itu sebagai peneraju wakaf media dunia. – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading