EU DIGESA TOLAK PERMINTAAN ISRAEL POTONG BANTUAN KEPADA ORGANISASI PALESTIN

RAMALLAH: Palestin pada Khamis menggesa Kesatuan Eropah (EU) agar tidak menggantung bantuan kewangan kepada organisasi-organisasi Palestin seperti yang diminta oleh para pegawai Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Saeb Erekat, Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), berkata hubungan telah diadakan dengan EU bagi menjamin bahawa bantuan kewangannya kepada organisasi sivil Palestin tidak akan dihentikan.

“Israel menuduh mana-mana rakyat Palestin yang menyuarakan permintaan ke arah penentuan nasib sendiri, kenegaraan, menamatkan pendudukan atau mempertimbang petempatan sebagai satu jenayah perang, sebagai pengganas,” kata Erekat.

Beliau menyelar Israel kerana mengenakan hukuman kolektif ke atas rakyat Palestin dengan memusnahkan kediaman, penempatan, melakukan serangan mengejut dan menahan mereka sejak 52 tahun lepas.

Para pegawai Palestin berkata EU harus menganggap Israel bertanggungjawab atas tindakannya dan bukan menggantung bantuan kewangan kepada organisasi Palestin.

Kenyataan Erekat itu dibuat selepas Israel meminta agar EU menghentikan bantuan kewangan kepada organisasi Palestin.

Pada Selasa, Menteri Keselamatan Awam Israel Gilad Erdan telah menulis surat kepada Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Josep Borrell, yang mendesak agar bantuan EU kepada badan bukan kerajaan Palestin dihentikan, yang disifatkannya sebagai “pertubuhan pengganas.”

Erekat berkata strategi Israel itu bertujuan menghentikan sebarang peluang untuk mencapai keamanan dan menghaang penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas di sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. — BERNAMA

Leave a Reply