IRAN SELAR AS KERANA BUNUH KOMANDER TERTINGGI TENTERA ELITNYA, QASEM SOLEIMANI
ANKARA: Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif memberikan reaksi yang keras terhadap pembunuhan Qasem Soleimani, komander tentera elit Kor Pengawal Revolusi Iran dalam satu serangan udara dron yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) di Iraq, lapor agensi berita Turki Anadolu.
“Tindakan keganasan antarabangsa yang dilakukan AS dengan menyasar dan membunuh Jeneral Soleimani – yang merupakan pasukan tentera paling efektif dalam memerangi Daesh, Al Nusrah, Al Qaeda dan sebagainya – adalah amat berbahaya dan merupakan kebodohan yang melampau. AS kini bertanggungjawab terhadap semua kesan akibat tindak laku liarnya yang bertindak seperti penyangak,” tulis Zarif di Twitter.
Sementara itu, Mohsen Rezaee, bekas komander Pengawal Revolusi, juga menulis di Twitter bahawa Iran akan “membalas dendam terhadap AS.”
Serangan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad itu turut mengorbankan Abu Mahdi al-Muhandis, naib presiden kumpulan Hashed al-Shaabi atau Unit Mobilisasi Popular (PMU).
Serangan itu berlaku susukan ketegangan antara Iran dan AS selepas beribu-ribu rakyat Iraq menyerbu pekarangan Kedutaan AS pada Selasa bagi membantah serangan udara di Iraq dan Syria Ahad lepas yang menyebabkan sekurang-kurangnya 25 milita Kataib Hezbollah terbunuh.
Serangan udara itu adalah sebagai tindak balas terhadap serangan roket pada Jumaat ke atas sebuah pangkalan tentera AS di Kirkuk dan didakwa dilakukan oleh Kataib Hezbollah, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan Hashed al-Shaabi.
Serangan itu telah menyebabkan seorang kontraktor AS maut manakala empat anggota tentera cedera.
Soleimani adalah komander yang sudah lama berkhidmat dalam Pasukan Tentera Quds, yang dilabel sebagai kumpulan pengganas di AS sejak 2007.
Kumpulan itu dianggarkan mempunyai 20,000 ahli.
Sejurus selepas kedua-dua pemimpin tentera Iran dilaporkan terbunuh, Presiden Donald Trump telah memuat naik bendera AS di Twitter tanpa komen.
Pentagon, yang mendakwa Soleimani merancang untuk melakukan serangan ke atas diplomat serta tentera AS di Iraq dan rantau itu, berkata pemimpin tersebut bertanggungjawab atas kematian beratus-ratus rakyat Amerika dan anggota tentera gabungan. — BERNAMA