SEPANG: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang bayi lelaki berusia lima bulan hingga menyebabkan kematian pada Februari lepas.
Farisha Azniha Mohd Sobri, 24, didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak telah menganiaya kanak-kanak itu hingga menyebabkan kematian di sebuah rumah di Kampung Sungai Merab Luar, Sepang pada 11 pagi, 12 Feb lepas.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah juga boleh memerintahkan menyempurnakan bon dengan penjamin bagi berkelakuan baik dalam tempoh dan syarat difikirkan baik oleh mahkamah dan menjalani khidmat masyarakat.
Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Rafiee mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Rohan Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai pengasuh sambilan dengan pendapatan RM400 sebulan, selain mempunyai dua anak berusia dua dan empat tahun, serta perlu menjaga ibu dan bapa yang sudah tua.
Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran selain menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes.–BERNAMA