YANGON: Angka kematian akibat gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda Myanmar meningkat kepada 3,471 setakat Sabtu, lapor akhbar harian yang dikendalikan kerajaan, The Mirror pada Ahad, menurut Xinhua.
Gempa bumi itu juga mengakibatkan 4,671 orang cedera dan 214 lagi masih hilang setakat Sabtu.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa organisasi penyelamat tempatan dan antarabangsa berjaya menyelamatkan 653 orang yang terperangkap di dalam bangunan selepas gempa, dan 682 mayat dikeluarkan dari runtuhan.
Terdahulu, sebanyak 89 gegaran susulan direkodkan di Myanmar dalam tempoh 10 hari selepas negara itu dilanda gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter 28 Mac lalu, menurut Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar, lapor Xinhua pada Ahad.
Gegaran susulan berukuran antara 2.8 hingga 7.5 magnitud, berlaku selepas gempa bumi dahsyat yang menggegarkan negara itu pada 12.51 tengah hari waktu tempatan. –AlHijrah Online