BOMBA BANTU ANGKAT REMAJA OBESITI

KUALA KUBU BHARU: Pasukan bomba diperlukan bagi mengangkat remaja lelaki yang mengalami masalah obesiti dengan berat badan kira-kira 120 kilogram untuk dihantar ke rumahnya, di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, remaja berusia 13 tahun itu sebelum ini menjalani rawatan di Hospital Selayang kerana menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Jelasnya mangsa kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Apartment Cempaka, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung semalam dengan ambulans swasta.

“Bomba menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.30 malam sebelum menghantar sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa diangkat dari ambulans ke rumahnya yang berada di tingkat empat oleh anggota bomba yang terlibat menggunakan beg kanvas,” katanya hari ini.

Kerja-kerja mengangkat mangsa mengambil masa kira-kira 20 minit.—AlHijrah Online

Leave a Reply