ELAUN PENDAKWAH KONTRAK DICADANG DINAIKKAN

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan semasa hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini. – Bernama

BANGI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan elaun pendakwah yang berkhidmat secara kontrak di bawah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim),  dinaikkan sekurang-kurangnya setara dengan gaji minimum.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Konvensyen Mualaf MADANI Peringkat Kebangsaan 2023, di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata mereka banyak menjalankan kerja-kerja dakwah serta menyantuni pelbagai permasalahan terutama dalam kalangan mualaf di kawasan pedalaman.

“Oleh kerana pendakwah atau mubaligh ini dikategorikan sebagai usaha-usaha dakwah secara sukarela dulunya dan mereka dikenali sebagai sukarelawan dalam penyebaran dakwah.

“Namun Jakim telah mengambil beberapa inisiatif untuk meletakkan mereka sebagai pendakwah, perkhidmatan secara kontrak. Maka elaun yang diberikan kepada mereka itu secara relatifnya masih rendah,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyarankan agar majis dan jabatan agama Islam negeri-negeri turut sama menaikkan elaun pendakwah di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika diminta mengulas mengenai cadangan Ahmad Zahid itu berkata Jakim mengambil maklum perkara itu.

Menurutnya, pada masa ini pendakwah yang bergerak di bawah Jakim serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Yayasan Dakwah Islamiah tidak diberikan elaun atau gaji tetap.

Sebelum itu semasa berucap di hadapan lebih 700 peserta Konvensyen Mualaf MADANI, Mohd Na’im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya Jakim bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri akan sentiasa memperkukuh program penghayatan Islam dalam kalangan mualaf dan masyarakat Orang Asli. 

Beliau berkata kelas-kelas pengajian agama meliputi ilmu aqidah, syariah dan akhlak perlu dilaksanakan dengan komited, interaktif serta terancang. 

“Kita perlu menerima hakikat, dunia teknologi komunikasi hari ini yang bergerak pantas menuntut agensi hal ehwal Islam untuk melipatgandakan usaha menyampaikan ilmu Islam termasuk di media sosial,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply