
CHENNAI: Selepas angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu, Joseph Vijay terus mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak milik kerajaan negeri, Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC).
Difahamkan arahan tersebut dikeluarkan selepas mendapati premis arak itu beroperasi terlalu hampir dengan sekolah, rumah ibadat serta stesen bas di seluruh negeri selatan India itu.
Langkah tegas Vijay itu dikeluarkan kepada semua premis untuk menghentikan operasi dalam tempoh dua minggu.
Kerajaannya menyatakan tindakan tersebut diambil bagi mengurangkan pendedahan masyarakat terhadap alkohol terutamanya dalam kalangan pelajar dan golongan muda.
TASMAC merupakan syarikat milik kerajaan Tamil Nadu yang mengawal sepenuhnya penjualan minuman keras di negeri berkenaan yang mengendalikan 4,765 kedai arak di seluruh negeri.
Ahad lalu, Vijay, bekas pelakon yang kini bergelar ahli politik mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
Partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya Tamil Nadu dan berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan beberapa parti lain sehingga mencapai majoriti 118 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 234 kerusi.—AlHijrah Online