HAD JEMAAH DI WILAYAH PERSEKUTUAN DITINGKATKAN IKUT KAPASITI SEBENAR MASJID, SURAU

KUALA LUMPUR: Kehadiran jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah lain di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau, bermula 1 Oktober (Jumaat).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan baharu tersebut perlu dilakukan dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat seperti yang dinyatakan.

“Semua masjid dan surau dibenarkan melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Tazkirah sebelum Solat Jumaat, Tadarus Al-Quran dan Kuliah Muslimat.

“Kebenaran tersebut juga termasuk bacaan surah Yasin, Tahlil, Program Zikir Munajat dan Doa, bagaimanapun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan,” katanya.

Ujar Mohd Ajib, umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan di samping memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau.

“Semoga umat Islam terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera berakhir,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad menjunjung kasih perkenan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengenai ketetapan terkini kapasiti jemaah solat di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply