SUAMI DIBENAR TEMAN IBU HAMIL SEMASA BERSALIN

PUTRAJAYA: Suami atau ahli keluarga terdekat dibenarkan menemani ibu hamil semasa bersalin, berkuat kuasa 4 Oktober 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebenaran tersebut hanya untuk mereka yang telah menerima dos vaksin lengkap COVID-19.

Tambah Noor Hisham, ahli keluarga terdekat perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Ag) di fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama sebelum menemani ibu hamil di Wad Bersalin.

“Suami atau ahli keluarga terdekat juga perlu mengehadkan pergerakan mereka selepas menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag.

“Ahli keluarga terdekat boleh membeli Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan membawanya ke hospital bagi menjalani ujian pengesanan kendiri COVID-19 di tempat saringan yang disediakan di hospital dengan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas,” dalam kenyataannya, hari ini.

Ujar Noor Hisham, para suami dan ahli keluarga terdekat yang menemani para ibu hamil diingatkan untuk sentiasa mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang menemani ibu hamil yang merupakan golongan berisiko tinggi.

Sebelum ini, kebenaran suami untuk menemani ibu hamil di bilik bersalin ditarik bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 khususnya dalam kalangan golongan berisiko tinggi seperti kumpulan ibu hamil dan kanak-kanak.—AlHijrah Online

Leave a Reply