Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

IMPIAN SUAMI ISTERI TERCAPAI, ANAK SULUNG JADI MUZAWWIR MEREKA DI MADINAH

DALAM NEGARA

IMPIAN SUAMI ISTERI TERCAPAI, ANAK SULUNG JADI MUZAWWIR MEREKA DI MADINAH

Tiada perkara yang lebih membanggakan bagi pasangan suami isteri Mohd Nasir Yusof dan Ruzila Ab Halim yang menjadi jemaah haji pada musim 1445H/2024 apabila melihat anak sulung yang dirindui datang menyambut ketibaan mereka berdua di bumi Madinah.

Sumber Gambar: BERNAMA

MADINAH: Tiada perkara yang lebih membanggakan bagi pasangan suami isteri Mohd Nasir Yusof dan Ruzila Ab Halim yang menjadi jemaah haji pada musim 1445H/2024 apabila melihat anak sulung yang dirindui datang menyambut ketibaan mereka berdua di bumi Madinah.

Lebih bermakna bagi pasangan yang menetap di Kota Bharu, Kelantan itu ialah Muhd ‘Atiqullah Mohd Nasir, 22, yang kini mengikuti kursus persediaan Bahasa Arab di Universiti Islam Madinah, menjadi muzawwir semasa melakukan ziarah luar termasuk di Bukit Uhud, Masjid Quba dan ladang kurma. 

Bagi Ruzila yang bertugas sebagai guru bahasa Arab di sebuah sekolah di Kelantan, dia tidak menyangka impian untuk melihat anaknya itu menjadi muzawwir mereka apabila mengerjakan haji akhirnya menjadi kenyataan. 

Ibu kepada lima orang anak itu berkata dia dan suami sepatutnya mendapat giliran haji pada 2023, namun tidak menerima sebarang surat, apabila bertukar alamat barulah dimaklumkan bahawa giliran mereka menunaikan ibadah itu adalah pada tahun lepas dan Lembaga Tabung Haji (TH) kemudian mengeluarkan surat tawaran sama tahun ini.

“Ada hikmahnya sebab kalau tahun lepas, anak saya masih belajar pada tahun pertama, mungkin tak jadi mutawif lagi, tetapi sekarang alhamdulilah dia dapat menjadi muzawwir kepada saya dan suami. 

“Sebelum ini, apabila dia maklum dapat tawaran belajar di Universiti Islam Madinah, saya cakap dengan dia saya memang nak dia jadi mutawif untuk saya apabila ada rezeki menunaikan haji,” katanya yang ditemui semasa melakukan ziarah luar di sini. 

Sementara itu, Muhd ‘Atiqullah yang merupakan antara 88 penuntut Universiti Islam Madinah yang bertugas sebagai muzawwir tahun ini melahirkan rasa gembira apabila dapat berjumpa dengan ibu bapanya di tempat yang penuh barakah selepas lebih setahun tidak bertemu. 

“Saya hanya tahu ibu bapa saya dapat menunaikan haji kira-kira sebulan lepas, tetapi pada masa itu saya belum terima keputusan sama ada saya dapat berkhidmat sebagai muzawwir atau tidak.

“Keputusan diperoleh hanya beberapa hari sebelum ibu bapa berlepas apabila seorang rakan memasukkan nama saya dalam kumpulan WhatsApp ahli jawatankuasa program ziarah luar,” kata pelajar tahun dua itu. 

Sebelum ini, Muhd ‘Atiqullah melanjutkan pengajian peringkat diploma di Mesir, namun tidak sampai setahun dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Madinah dalam bidang al-Quran dan al-Sunah. 

Muzawwir merupakan kumpulan yang memberi memberi penerangan kepada jemaah haji Malaysia ketika melakukan ziarah luar di tempat-tempat bersejarah di Madinah, manakala mutawif ialah mereka yang membimbing jemaah ketika melakukan ibadah haji ataupun umrah.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading