TEL AVIV: Iran hari ini mengesahkan melancarkan serangan terus menerus ke atas Israel.
Serangan yang berlaku pada awal pagi Ahad membabitkan ratusan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan beberapa lokasi termasuk Tel Aviv, ibu kota negara haram itu.
Peluru berpandu dan dron yang dilancarkan itu mengambil masa beberapa jam untuk tiba di ruang udara Israel.
Sementara itu tular rakaman video-video amatur ruang udara di sekitar Palestin, termasuk di Baitulmaqdis memaparkan pergerakan peluru berpandu dan dron yang menuju negara haram berkenaan.
Jordan, Iran dan Israel pula dilapor menutup sepenuhnya ruang udara masing-masing. Perkara ini turut dapat dilihat melalui laman sesawang flightradar24.com yang menunjukkan tiada pergerakan pesawat di ruang udara sekitar Asia barat.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan Iran akan menyerang Israel dalam masa terdekat.
Biden bagaimanapun berkata Washington akan terus mempertahankan sekutunya itu.
Serangan udara hari ini adalah reaksi balas susulan serangan tentera Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria, awal bulan ini.
Dalam kejadian itu, pesawat perang Israel mengebom bangunan tambahan konsulat dan membunuh tujuh pegawai termasuk komander tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
Berikutan itu, Iran berikrar untuk membalas dendam. –AlHijrah Online