KANAK-KANAK PEREMPUAN MENINGGAL DUNIA DISYAKI DIDERA

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Gambar Fail – Bernama

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun meninggal dunia dengan kesan kecederaan dipercayai akibat didera di sini awal pagi 15 Mei.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada seorang pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Banun (HRPB) pada kira-kira 3.14 pagi.

Beliau berkata pegawai perubatan itu membuat laporan bahawa jabatan terbabit menerima seorang pesakit kanak-kanak yang dibawa menaiki ambulans dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira 1.45 pagi.

“Pemeriksaan ke atas badan mayat didapati terdapat kesan cedera disyaki akibat didera… bedah siasat telah djalankan oleh pakar patologi Jabatan Forensik HRPB dan didapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan disebabkan oleh benda tumpul,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Mior Faridalathrash berkata pihak polis menahan sepasang suami isteri berusia 40 tahun iaitu ibu dan bapa saudara mangsa yang menjaganya di Ipoh.

Beliau berkata mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya orang awam yang memiliki sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP S. Dasarathan di talian 012-564 4484. – AlHijrah Online

Leave a Reply