Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KES GURU DISERANG PELAJAR, POLIS TUNGGU LAPORAN PSIKIATRI

DALAM NEGARA

KES GURU DISERANG PELAJAR, POLIS TUNGGU LAPORAN PSIKIATRI

Polis masih menunggu laporan penilaian psikiatri forensik bagi menentukan keadaan mental pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai menyerang seorang guru wanita di sebuah sekolah di Kuching.

KUCHING: Polis masih menunggu laporan penilaian psikiatri forensik bagi menentukan keadaan mental seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai mencederakan seorang guru di sebuah sekolah swasta di sini pada 21 Oktober lalu.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, laporan berkenaan penting bagi membantu menentukan keadaan suspek ketika kejadian.

“Polis sedang menunggu laporan penilaian psikiatri forensik bagi menentukan keadaan mental suspek ketika kejadian. Setakat ini, kita belum dapat membuat sebarang kesimpulan sehingga laporan berkenaan diterima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Menurut Saifullizan, polis telah melengkapkan siasatan dan mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lalu untuk penelitian lanjut.

“Polis telah merakam keterangan daripada 38 saksi yang terdiri daripada pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan dan ibu bapa suspek bagi membantu siasatan.

“Beberapa barangan yang dirampas, termasuk kapak, pisau, mercun serta komputer dan gajet dari rumah suspek, telah dihantar untuk analisis forensik,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Setakat ini, polis tidak menemukan bukti yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan unsur buli.

Pada 21 Oktober lalu, seorang guru wanita dilaporkan cedera dipercayai akibat diserang seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Kuching. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top