GOMBAK: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dilaporkan terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 80 meter, di sini malam tadi.
Kejadian difahamkan berlaku di jalan lama dari Genting Sempah menghala ke Gombak, yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 10:46 malam sebelum mengerahkan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang ke lokasi kejadian sejauh 28 kilometer.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil telah terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 80 meter.
“Mangsa telah tercampak dari kenderaan dan mengalami cedera parah dan operasi membawa naik mangsa telah dilakukan oleh anggota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Mukhlis memaklumkan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kira-kira jam 1:15 pagi.
Kes kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya.–AlHijrah Online