
SEREMBAN: Masjid Sri Sendayan dinobatkan sebagai “Global Outstanding Mosque of the Year 2026” dalam World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA), sekali gus mengiktiraf kecemerlangan masjid berkenaan sebagai pusat komuniti Islam yang aktif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan dan jawatankuasa Masjid Sri Sendayan atas pencapaian itu.
“Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pengurusan dan jawatankuasa Masjid Sri Sendayan di Seremban yang dinobatkan sebagai ‘Global Outstanding Mosque of the Year 2026’ dalam World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA),” katanya.
Pengiktirafan itu diberikan berikutan keindahan seni bina masjid yang menggabungkan unsur era Abbasiyah dan Mamluk, hasil wakaf tokoh perbankan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Selain reka bentuknya yang megah dan mampu menampung sehingga 5,000 jemaah, masjid berkenaan turut diiktiraf atas keupayaannya berfungsi sebagai pusat komuniti menyeluruh menerusi pelaksanaan program pemerkasaan sosioekonomi, pendidikan agama serta pendedahan kepada teknologi moden.
Dr Zulkifli berharap pencapaian berkenaan menjadi pemangkin kepada Masjid Sri Sendayan untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Semoga terus cemerlang dalam menabur bakti dan menyebar hikmah, insya-Allah,” katanya. — AlHijrah Online