MAYAT WARGA ASING REPUT DIBUNGKUS DALAM KARPET

GUA MUSANG: Polis menemukan mayat seorang lelaki dipercayai warga asing yang hampir reput dan berulat dibungkus dalam karpet, di kawasan semak berhampiran kolam air panas Lojing, di sini kelmarin.

Difahamkan mayat tersebut ditemui seorang anggota pondok polis Lojing selepas melihat objek seperti mayat manusia yang diikat dengan tali, kira-kira pukul 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati mayat mangsa tersebut juga dibungkus menggunakan selimut dan terdapat bantal pada bawah kepalanya.

Tambahnya mangsa dipercayai warga asing kerana tidak mempunyai parut kesan suntikan Bacille Calmette-Guerin (BCG) dan disyaki telah meninggal dunia dalam tempoh lebih daripada 36 jam.

“Mayat mangsa ditemui dengan memakai baju lengan panjang berwarna biru, kain sarung selain terdapat tatu gambar burung pada lengan kanan.

“Mangsa yang belum diketahui usia dan identiti ekoran tiada penemuan sebarang dokumen pengenalan diri padanya itu dipercayai mati di tempat lain, namun mayatnya dibawa sebelum ditinggalkan di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Ujarnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kawasan tersebut jauh dari kawasan kejiranan dan merupakan laluan utama yang digunakan dari Gua Musang ke Lojing.

Hasil bedah siasat menunjukkan tiada sebarang kecederaan akibat perbuatan jenayah dapat dikesan pada mayat mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.–AlHijrah Online

Leave a Reply