Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Sharizat Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman dan Mohd Rusnizam Abdullah.
Pada prosiding itu, Sharizat mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan berikutan kesalahan berkenaan amat serius dan menimbulkan kegusaran masyarakat.
Namun, Muhammad Amirull Afiqq dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan memandangkan pelajar tahun akhir di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu masih ditanggung oleh bapanya yang bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan RM5,000 sebulan.
Selain itu, peguam berkenaan turut memaklumkan tertuduh pernah dirujuk di sebuah klinik ketika masih bersekolah berkaitan gangguan psikologi.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan pelajar terbabit perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, serta menetapkan 8 April depan sebagai sebutan semula kes.
Pada 25 Feb lepas, seorang pelajar UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.–Bernama