Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PENJUAL KUIH MENGAMUK DI RESTORAN MAMAK DIDENDA RM11,800

DALAM NEGARA

PENJUAL KUIH MENGAMUK DI RESTORAN MAMAK DIDENDA RM11,800

Wanita yang mengamuk di sebuah kedai makan minggu lalu didenda RM11,800 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan.

IPOH: Wanita yang mengamuk di sebuah kedai makan minggu lalu didenda RM11,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan.

Nurfarahanim Soaid, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah dan Mohd Harith Mohd Mazlan di dua mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan Nurfarahanim yang juga penjual kuih didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamed Hussain Mubarakali dengan cara menampar dan menumbuk mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Restoran SK Naina, Taman Tasek Damai, Ipoh pada pukul 6.26 pagi, 28 Januari 2026.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua di mahkamah berasingan, Nurfarahanim mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muniasamy Rathinavel Nadar menggunakan garpu.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia juga mengaku melakukan khianat dengan memecahkan tiga kaca pameran makanan restoran yang menyebabkan kerosakan harta benda.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 atau 12 bulan penjara bagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan manakala di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, tertuduh didenda RM4,000 atau 10 bulan penjara.

Mahkamah turut memerintahkan agar barang kes diluputkan oleh pihak pendakwaan sehingga tamat tempoh rayuan.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

1 Comment

1 Comment

  1. Anonymous

    5 February 2026 at 1:34 AM

    Tak nyatakan sebab-sebab tertentu yang menyatakan terjadinya perkara tersebut

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading