Pertahan sistem monarki Malaysia

Oleh Dr Azmi Hassan

MEDIA tersohor antarabangsa seperti BBC, CNN, Al Jazeera dan banyak lagi telah membuat liputan berita yang agak meluas mengenai proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 baru-baru ini adalah manifestasi kepada keunikan sistem monarki berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia. 

Pada ketika ini terdapat 43 negara yang mempunyai sistem monarki yang mana enam darinya adalah monarki mutlak, 16 negara mempunyai kaitan monarki British melalui Komanwel dan 21 negara seperti Malaysia mengamalkan sistem monarki berperlembagaan. Tetapi dihujahkan sistem monarki amalan Malaysia adalah unik dan begitu sukar untuk mencari sistem monarki negara lain yang selari pengamalannya. 

Proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah manifestasi kepentingan peranan monarki Malaysia.   

Berkemungkinan media United Kingdom menaruh minat mengenai Yang di-Pertuan Agong serta sistem Raja-Raja Melayu kerana mereka juga mempunyai sistem monarki berperlembagaan yang selari dengan Malaysia. Begitu jua media dari Amerika Syarikat (AS) mungkin terfikir bagaimana agaknya ketua negara seperti Donald Trump mentadbir jika Amerika mengamalkan sistem monarki. Manakala media Arab pula sudah dijangka minatnya kerana banyak lagi negara Arab yang mempunyai sistem monarki yang mutlak.

Bukan sahaja proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong berlaku secara tertib dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu tetapi  susunan tata atur giliran tidak pernah diusik sejak diperkenalkan dan sekaligus sistem penggiliran ini menjadikan monarki Malaysia begitu unik dan sering menarik perhatian dunia. 

Ketertiban sebeginilah yang menarik perhatian dunia luar kerana tidak dinafikan Yang Di-Pertuan Agong walaupun terpisah dari tiga cabang utama pentadbiran negara iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman, pengaruh tersirat jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah begitu tersurat sekali dan sudah banyak kali terbukti keberkesanannya.

Walaupun Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen tetapi hakikatnya kewujudan sistem monarki dalam ruang lingkup sistem monarki berperlembagaan membuatkan cabang eksekutif dan legislatif kerajaan lazimnya akan seiring walaupun secara tersirat bersama-sama Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam mengurus pentadbiran negara. 

Walaupun hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan Persekutuan tetapi hakikatnya senario politik Malaysia banyak puncanya berasal dari negeri dan sebab itu dihujahkan juga peranan Raja-Raja Melayu dalam urusan pentadbiran negara adalah begitu kuat sekali pengaruhnya.

Walaupun Malaysia bukan seperti Arab Saudi, Oman atau pun Qatar di mana sistem pemerintahan negara tersebut adalah monarki mutlak, tetapi peranan yang disalurkan oleh monarki Malaysia terutama sekali melalui Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah begitu bermakna sekali dan keprihatinan media luar terhadap proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah manifestasi kepentingan peranan monarki Malaysia.   

Peranan yang dimainkan oleh monarki dalam membantu pentadbiran negara tidak boleh diperkecilkan atau diremehkan kerana telah terbukti keberkesanannya. Ambil contoh negara Scandinavia umpamanya seperti Norway, Sweden dan Denmark yang mempunyai sistem monarki berperlembagaan yang selari dengan Malaysia. Kewujudan monarki di ketiga-tiga negara tersebut dan seperti jua di Malaysia tidak pernah menghalang proses demokrasi berjalan dengan suburnya. 

Sebab itu dihujahkan sistem monarki berperlembagaan Malaysia terutama sekali yang berkait dengan Yang di-Pertuan Agong secara nasional dan Raja-Raja Melayu di peringkat negeri kesemuanya itu mempunyai kepentingan strategik. Ini adalah kerana monarki lazimnya berada di luar ruang lingkup pengaruh politik iaitu berbeza dengan ahli politik yang dikekang dengan ideologi politik masing-masing. 

Secara asasnya kedudukan tertinggi dalam sistem monarki di Malaysia, iaitu proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang dilaksanakan oleh Raja-Raja Melayu tidak dipengaruhi oleh faktor kewangan, politik dan juga sensasi media. 

Faktor sebegini yang membuatkan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu berada dalam kedudukan yang agak istimewa dalam kalangan rakyat Malaysia dan tidak keterlaluan jika dianggap peranan monarki sebagai pengimbang dalam setiap sudut senario politik negara. Apabila masyarakat antarabanga menilai sistem monarki Malaysia sebagai begitu unik sekali maka sepatutnya rakyat Malaysia berbangga serta berani mempertahankan sistem tersebut.    

*Dr Azmi Hassan adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Leave a Reply