BATANG KALI: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas semasa melakukan aktiviti di Taman Rekreasi Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali-Genting, di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 11:43 pagi tadi oleh salah seorang daripada kawan mangsa.
Katanya, anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian sejauh 26 kilometer (km) bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Adam Ashraf Mohd Amir, 19.
“Komander operasi melaporkan setelah melakukan ‘surface searching’ di kawasan sekitar, mangsa berjaya dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 12:44 tengah hari.
“Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum menyerahkan mayat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi SAR tamat sekitar jam 2:45 petang tadi.–AlHijrah Online