KUALA LUMPUR: Hukum tidak memenuhkan serta merapatkan saf semasa solat berjemaah sama ada solat fardu atau solat sunat tarawih, adalah makruh.
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, perbuatan melompongkan saf ketika solat berjemaah boleh mengurangkan pahala selain jatuh hukum makruh.
“Merapatkan serta memenuhkan saf ketika menunaikan solat berjemaah merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW.
“Perkara tersebut sangat diutamakan dalam melaksanakan solat berjemaah,” katanya.
Dr Luqman berkata demikian bagi mengulas isu kelompongan saf wanita ketika solat sunat tarawih yang diajukan wartawan Berita AlHijrah.
Ujarnya, semua jemaah perlu mengambil berat tentang keperluan memenuhkan serta merapatkan saf ketika solat berjemaah di masjid.
Perkara tersebut perlu ditambah baik oleh jemaah dari semasa ke semasa selain menambah pemahaman jemaah bahawa merapatkan serta memenuhkan saf itu perkara yang sangat digalakkan.
Sebelum ini tular sebuah gambar memaparkan saf wanita yang ‘lompong’ semasa menunaikan solat Tarawih dengan kelompok sendiri.—AlHijrah Online