Foto: BERNAMA
AYER KEROH: Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama menyalahgunakan wang derma misi kemanusiaan bernilai lebih RM576,000.
Tertuduh yang berusia 39 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus enam pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh ketika itu sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik pertubuhan berkenaan berjumlah keseluruhan RM576,995.40.
Wang tersebut merupakan wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Jun 2019 hingga Mei 2021 di Maybank Islamic Berhad cawangan Merlimau.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebatan, dan juga hendaklah dikenakan denda bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusoff merayu supaya jumlah itu dikurangkan berikutan anak guamnya hanya dimaklumkan akan didakwa di mahkamah pada minggu lalu dan mempunyai masa seminggu sahaja untuk menyediakan wang jaminan.
Selain kes di Kuala Lumpur dan Melaka, tertuduh juga berdepan pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Ipoh esok dan perlu menyediakan wang jaminan bagi kes berkenaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Semalam, Mohd Hakim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalahgunakan wang derma misi kemanusiaan berjumlah RM207,000 milik pertubuhan sama, tujuh tahun lalu.
Mohd Hakim bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM10,000
SPRM sebelum ini membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hasil sumbangan orang ramai dipercayai berjumlah RM26 juta. Kegiatan penyelewengan dana itu terbongkar susulan tangkapan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan pertubuhan berkenaan menerusi Op Serantau – Alhijrah Online