‘SAYA SUDAH BUAT TEMPAHAN VAKSIN UNTUK ANAK’ – KJ

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan beliau telah membuat tempahan vaksin untuk anaknya sendiri yang berusia enam tahun bagi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids)

Perkara itu dimaklumkan beliau bagi menjawab tohmahan segelintir pihak yang mendakwa beliau serta anaknya tidak menerima vaksin.

“Saya sudah buat tempahan vaksin untuk anak saya yang berumur enam tahun. Insya-Allah saya harap yang lain akan buat tempahan untuk anak-anak mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PICKids di Hospital Tunku Azizah hari ini.

Sementara itu katanya berdasarkan bukti dan maklumat, terdapat keperluan untuk memperkenalkan dasar pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun bagi melindungi mereka daripada komplikasi teruk dan kematian susulan jangkitan COVID-19.

Dalam tempoh enam bulan lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati seramai 147,282 kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun yang belum layak divaksinasi telah dijangkiti COVID-19 dan sebanyak 26 kematian dilaporkan.

Katanya pemberian vaksin COVID-19 adalah secara sukarela dan ibu bapa atau penjaga perlu memberi kebenaran bagi melayakkan anak mereka mendapat vaksin COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply