KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik lori melakukan tindakan luar biasa apabila bertindak membakar lori miliknya dan menganggu tugas penjawat awam semata-mata mahu mengelak daripada disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam satu rondaan hari ini.
Kejadian berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Air, Kuala Nerus apabila pasukan rondaan JPJ mengesan sebuah lori yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori berkenaan adalah remaja bawah umur, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan tersebut telah tamat tempoh melebihi
dua tahun.
“Pemeriksaan turut mengesahkan kenderaan itu gagal menjalani pemeriksaan PUSPAKOM sejak tahun 2023.
“JPJ telah mengambil tindakan untuk menyita lori tersebut mengikut peruntukan undang-undang, namun, pemilik kenderaan yang tiba di lokasi kemudian enggan memberi kerjasama dan bertindak membakar lori berkenaan dalam cubaan menghalang tindakan sitaan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya siasatan awal mendapati pemilik syarikat mempunyai enam saman aktif atas nama syarikat serta empat saman atas nama pemandu.
Ujar beliau antara kesalahan yang direkodkan termasuk memandu tanpa LKM sah, tiada insurans, pemandu bawah umur di bawah 17 tahun, serta dua kesalahan ubah suai kenderaan.
Katanya tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kes tersebut dalam siasatan pihak PDRM.–AlHijrah Online