SOP KENDIRI PERLU DIPATUHI WALAUPUN BANJIR

SEMANGGOL: Agensi-agensi terlibat dalam tugasan di pusat pemindahan sementara (PPS) diminta sentiasa mengingatkan mangsa banjir bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pertambahan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS boleh mendatangkan risiko jika SOP yang ditetapkan tidak dipatuhi.

“Kita bimbang akan gelombang ketiga yang berlaku ini, yang berpunca dari kecuaian kita sendiri, walaupun undang-undang sudah dikuatkuasakan, nasihat sudah diberikan.

“Saya tidak mengatakan bahawa kita tidak menjaga SOP, tetapi kadang-kadang kita lalai dan alpa, di peringkat kementerian juga kadang kadang terlalai, jadi sama-sama kita menasihati” ujar Dr Noor Azmi kepada AlHijrah Online.

Menurut Datuk Noor Azmi, SOP pengurusan banjir ketika pandemik COVID-19 yang digariskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mampu meminimumkan risiko penularan wabak itu dalam kalangan mangsa banjir dan petugas pengurusan bencana.
 
Namun tegas beliau, pematuhan SOP dalam persekitaran norma baharu perlu menjadi keutamaan dan musibah banjir tidak harus dijadikan alasan untuk mengabaikannya.
 
Justeru Dr Noor Azmi menasihatkan mangsa banjir di PPS supaya mengamalkan penjarakan fizikal dengan tidak duduk secara berkelompok.
 
Beliau berkata demikian selepas meninjau mangsa banjir di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, Semanggol, pagi tadi.
 
Seramai 152 orang daripada 60 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan yang mula dibuka pagi semalam.
 
Di Perak, 246 mangsa banjir daripada 90 keluarga ditempatkan di empat buah PPS yang dibuka setakat pukul 10 pagi tadi.–AlHijrah Online

Leave a Reply