TEROWONG SMART DICADANG DIBINA DI SHAH ALAM ATASI BANJIR

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang membina Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata, syor itu antara cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir.

Antara cadangan lain ialah mengenalpasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah; kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik; dan menaiktaraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama.

Selain itu, turut dicadangkan meninggikan benteng dan ban sungai serta parit; membina lebih banyak tebatan banjir; membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air; pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi; mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan; dan membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial Intelligence) serta sistem amaran awal banjir lumpur.

“KASA juga membuat cadangan membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China; dan mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda.

“Selain itu turut dicadangkan menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang; mengawal penebangan hutan; dan kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

Beliau semalam telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) secara telesidang semalam bagi membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.

Katanya masalah banjir perlu diselesaikan secara tuntas kerana bencana baru-baru telah mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian

“Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.

“Justeru, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Menurut Ismail Sabri perbincangan semalam menekankan langkah-langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat. – AlHijrah Online

Leave a Reply