Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TH SEKALI LAGI DIBENAR BUKA PUSAT RAWATAN MADINAH UNTUK KEMUDAHAN JEMAAH

DALAM NEGARA

TH SEKALI LAGI DIBENAR BUKA PUSAT RAWATAN MADINAH UNTUK KEMUDAHAN JEMAAH

Pusat Rawatan Madinah di Hotel Roha akan mula beroperasi Isnin dengan dilengkapi kemudahan 33 katil termasuk wad pemerhatian kecemasan, wad lelaki dan wad wanita. 

Sumber Gambar: BERNAMA

MADINAH: Susulan pencapaian cemerlang dalam menyediakan khidmat rawatan kesihatan kepada para jemaah haji sebelum ini, Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi mendapat kebenaran untuk membuka Pusat Rawatan Madinah, buat tiga tahun berturut-turut.

Pengarah Operasi Madinah (Perubatan) Dr Mahyin Kudong, Pusat Rawatan Madinah di Hotel Roha akan mula beroperasi hari ini (Isnin) dengan dilengkapi kemudahan 33 katil termasuk wad pemerhatian kecemasan, wad lelaki dan wad wanita. 

Mahyin yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Perlis berkata selain itu pusat rawatan itu juga mempunyai fasiliti untuk perubatan kecemasan, unit X-ray dan unit ujian makmal asas dan perkhidmatan sokongan seperti fisioterapi dan pakar pemakanan.

“Pusat rawatan ini akan dikendalikan oleh lima doktor termasuk dua doktor pakar kecemasan, pakar kesihatan awam dan pakar bius. Pakar bius ini juga bertanggungjawab untuk membuat pemantauan dan penyeliaan sekiranya ada jemaah haji yang terpaksa dirujuk ke hospital Arab Saudi.

“Pada masa yang sama, TH turut membuka dua klinik di dua zon, iaitu Hotel Movenpick dan Hotel Emmar Royal dengan masing-masing akan diketuai oleh seorang doktor pakar keluarga di bantu oleh dua doktor lain,” katanya dalam sidang media di sini semalam. 

Beliau berkata skop tugasan klinik itu pula meliputi khidmat seperti rawatan pesakit luar dan rawatan awal kecemasan, namun mana-mana kes kritikal akan segera dirujuk pada Pusat Rawatan Madinah atau Hospital Arab Saudi jika keadaan memerlukan. 

Secara keseluruhan, beliau berkata kekuatan pasukan perubatan TH ketika waktu kemuncak nanti adalah seramai 53 orang, melibatkan doktor pakar seramai enam orang, 16 jururawat dan selebihnya pembantu perubatan selain petugas musim haji yang dilantik TH.

Beliau berkata dari segi operasi harian pula walaupun secara asasnya pusat rawatan itu akan beroperasi pada waktu pejabat, namun mereka akan sentiasa bersedia untuk berkhidmat menyantuni para jemaah haji 24 jam. 

Sementara itu, dalam keadaan cuaca panas di Tanah Suci ketika ini, beliau mengharapkan para jemaah haji sentiasa mengambil langkah berjaya-jaga. 

“Selalunya, ikut pengalaman lalu, penyakit yang sering dihadapi jemaah di Madinah…akibat perubahan cuaca mendadak, suhu yang panas dan kering sehingga menjejas sistem pernafasan. 

“Ia mengakibatkan para jemaah haji mengalami batuk dan sakit tekak, itu perkara biasa yang  dialami.  Selain itu berlaku masalah kulit dan kekurangan air menyebabkan kulit pecah dan gatal. 

“Malah ada yang mengalami hilang selera makan kerana ulser pada mulut, manakala kulit badan menjadi kering. Jadi, suka saya ingatkan para jemaah agar ambil langkah berjaga-jaga,” katanya. 

Menyentuh tentang COVID-19,  pula, katanya tiada sebarang persediaan khusus dilakukan memandangkan penyakit itu telah diisytiharkan sebagai endemik.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading