KLANG: Bermula 1 Jun depan, pengambilan pekerja asing termasuk pemastautin tetap sebagai pembantu gerai di semua gerai dan kios di bawah pengurusan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) adalah tidak dibenarkan.
Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain berkata, larangan itu melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman dan kios di pasar-pasar awam milik majlis.
“Semua pembantu gerai hanya warganegara Malaysia dan perlu berdaftar dengan pihak MBDK,” katanya ringkas dalam satu kenyataan.
Memetik laporan media tempatan, penguatkuasaan tersebut diambil bagi mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta memperkemas sistem pemantauan dan pendaftaran pekerja di gerai-gerai kendalian majlis.
“Para penyewa diingatkan untuk mematuhi peraturan baharu ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang atau pembatalan lesen sewaan.
“Kami ingin memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana seperti ini diberi keutamaan kepada warga tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan,” jelas kenyataan itu.
Sebarang maklumat lanjut serta prosedur pendaftaran pembantu gerai boleh diperoleh melalui Pejabat MBDK atau menerusi laman sesawang rasmi majlis tersebut.—AlHijrah Online